.

Jumaat, 18 September 2015

Terima kasih dengan sangat Ya Allah...


Hari ni, sudah masuk tiga dekad kemiskinan dan kepayahan 'berlalu' dari hidup aku juga keluarga. Alhamdulillah, walaupun tidak sesenang mana, syukur kehidupan kami lebih selesa dan terurus.

Maaf, bukan niat aku nak buka pekung di dada sendiri. Sekadar catatan peringatan buat diri sendiri, agar suatu masa nanti andai ada rezeki aku diberiNya lebih kesenangan dan keselesaan hidup, maka aku tak lupa diri dan ruang lingkup aku. Sekadar hanya, itu!

Sebagai pasangan suami isteri yang cuba memperjudikan nasib jauh di rantau orang, aku percaya dan sedar bukan mudah bagi Ma dan arwah Abah untuk membina kehidupan yang selesa. Apatah lagi kedua-duanya bukanlah berpelajaran tinggi, sekadar punya bakat dan kemahiran diri. Itulah yang digunakan mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup kami sekeluarga.

Alhamdulillah, berkat Abah yang pandai memasak terutama buat roti canai, kelebihan itu digunakan sebaiknya untuk mencari rezeki buat keluarga. Ma pula, sanggup bekerja di kilang mi, tauhu dan kasut demi menambah pendapatan.

Aku akui, perjalanan hidup kami 9 beranak tidak mudah. Sering dilanda ujian yang cukup menggugat kesabaran dan kecekalan hati. Tidak jarang aku dengar Ma dan Abah bergaduh gara-gara ketidakcukupan sumber kewangan untuk menampung makan minum dan persekolahan anak-anak.

Punya tiga anak perempuan dan empat anak lelaki, bukan mudah. Anak lelaki khususnya, lasak dan kuat makan. Kurang perhatian juga buat mereka degil dan sukar ditegur, anak perempuan pula tergugat emosi gara-gara tanggungjawab menguruskan rumah dan adik-adik.

Aku dan kakak sejak kecil sudah terbiasa dengan kerja rumah dan menguruskan adik-adik. Malah, kami berdua turut menyambut kelahiran adik kedua bongsu dan bongsu di rumah gara-gara tak sempat bawa Ma ke hospital.

Kalau nak cerita keadaan rumah kami dulu, rasanya kalau waktu itu ada rancangan tv Bersamamu tentunya kami sekeluarga menjadi salah seorang pesertanya. Tanpa kemudahan elektrik dan air, sampai sekarang aku masih tak percaya bagaimana kami mampu membesar dengan baik.

Keadaan rumah yang uzur, dinding papan yang berlubang dan zink bocor di merata-rata buat keluarga kami tersisih daripada jiran tetangga, tetapi di rumah usang yang kami sewa dengan harga RM30 (sebelum kemudiannya dinaikkan ke RM60) itulah tempat kami mengadun kehidupan yang semakin hari kian mencabar.

Ma, tentunya tertekan dengan keadaan hidup yang tak sempurna seperti pasangan suami isteri lain. Kami (anak) pula, lebih tertekan lagi kerana semuanya serba kurang. Kasut sekolah tak mampu berganti walaupun tapak kaki sudah dimakan jalan tar, ke sekolah berjalan kaki juga tanpa wang belanja. Perut kosong hanya diisi sekeping lempeng bodoh sampai ke habis waktu sekolah. Minum hanya air paip di kantin atau bilik air.

Waktu itu, apabila hujan lebat turun menimpa zink rumah dan membasahi ruang dalam rumah, aku selalu berdoa..."YA Allah, cepatlah aku besar. Aku nak kerja, aku nak cari duit. Nak beli rumah selesa untuk Ma dan adik-adik. Nak masak makanan sedap dan berkhasiat untuk mereka." Dalam doa, sedu-sedan tak kedengaran, dek curahan air hujan yang cukup deras dan kasar.

Bertahun-tahun melayari kehidupan yang serba payah, tak mudah. Hati memberontak tatkala diterjah dek emosi. Apatah lagi saat terpaksa menolak beberapa peluang bagus hanya kerana kami tak berkemampuan. Kata Ma, kami dapat makan dua kali sehari dan ke sekolah sudah cukup baik. Janganlah meminta lebih, memang tak dapat.

Dulu, waktu ada acara sukan, aktiviti unit berseragam atau rombongan sekolah, aku dan kak selalu dengan terpaksa melepaskannya. Alasan, kami tak mampu. Kami banyak tanggungjawab dan tugas di rumah. Masa remaja kami dihabiskan dengan urusan rumah tangga dan mengasuh adik-adik.

AllahuAkbar...

Bulan berganti tahun, apabila semua keperitan itu berlalu satu persatu, setiap kali mengenangnya aku akan terfikir, benarkah semua keberuntungan, kemujuran dan keselesaan yang sedang aku nikmati ini adalah realiti? Benarkah ini bukan mimpi indah di siang hari?

Hari ini, kediaman kami sudah selesa. Walau tak mewah dan tersergam indah, tetapi memadai  buat kami. Makan cukup, rehat cukup. Diberi peluang dan ruang mempunyai kerjaya yang baik, dapat berjalan ke sana sini malah merentasi lautan dan awan nan biru. Alhamdulillah, syukur dengan sangat.

Betapa baiknya Allah kepada kami sekeluarga walaupun kami bukanlah hambaNya yang baik, jauh sekali sempurna, tetapi Dia Maha Pemurah dan Penyayang, melimpahkan kepada kami rezeki dan kesihatan tanpa batas. Sentiasa mendengar rintihan dan aduan kami hingga kami berada di tahap ini. MasyaAllah.

Terima kasih dengan sangat Ya Allah, atas limpah kurniaMu sepanjang kehidupan kami atas muka bumiMu yang penuh rahmat dan nikmati ini. Ampuni kami Ya Allah kerana sering alpa dengan segala nikmatMu. Bimbinglah hati-hati kami ya Allah agar sentiasa bersyukur dan merendah diri atas segala rahmat, nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Janganlah Engkau biarkan kami hanyut dan tenggelaman dalam kelazatan zatMu Ya Allah. Jangan tinggalkan kami walau sedetik pun. Lindungilah hati-hati kami daripada perasaan ego, bongkak, tamak, sombong, dengki, khianat, iri hati, marah dan malas. Berkatilah hidup kami dunia akhirat Ya Allah. Limpahkanlah keampunanMu kepada kedua-dua ibu bapa kami. Limpahkanlah rahmat, keberkatan dan kasih sayangMu nan tiada taranya itu kepada kedua-duanya. Selamatkan dan lindungilah ibu bapa kami dari seksa kubur dan azab api neraka, Ya Allah. Kasihani mereka Ya Allah. Ya Allah, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami adalah dari orang-orang yang rugi. Ya Allah, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan