.

Rabu, 28 April 2021

Beli Dan Derma


Cantik, ‘kan.


Ramadan ni, banyak cara untuk kita tambah pahala. Satu daripadanya, melalui cara beli hasil seni tangan mereka ni.


Tahun lepas, saya tak ada terima kiriman kad raya daripada mereka.


Alhamdulillah, tahun ni ada. Jadi, bolehlah buat sumbangan.


Sumbangan kita (melalui pembelian kad raya ni) pastinya sangat bermakna buat mereka, selain memberi suntikan semangat dan sokongan moral.


Memetik isi surat Siti Aishah Yaacob (yang kedua-dua belah tangannya cacat sejak lahir, menggunakan kaki untuk melukis dan mewarna serta melakukan kerja harian);


“Dalam usaha yang serius untuk mencari nafkah bagi diri dan keluarga kami, kami telah menubuhkan Persatuan Pelukis-Pelukis Mulut dan Kaki yang mengurus penjualan lukisan kami yang dihasilkan semula dalam bentuk kad perayaan, kalendar dan sebagainya.


“Sememangnya sukar untuk mencari kaedah penjualan yang memuaskan semua orang. 













“Walau bagaimanapun, kaedah ini membolehkan kami menerangkan latar belakang kisah kad-kad yang dihasilkan daripada lukisan asal yang memerlukan usaha gigih secara fizikal, ke

azaman serta kesabaran. Kaedah ini juga memberi anda peluang untuk meneliti kualiti lukisan kami.


“Matlamat kami adalah untuk berdikari dari segi kewangan dan untuk menjunjung kehormatan diri serta memperolehi kreativiti. 


“Oleh itu, setelah mempertimbangkan kualiti hasil karya kami, sekiranya anda ingin membeli set ini yang mengandungi 8 keping kad yang menarik berharga RM42, sila hantarkan cek/kiriman wang/ wang pos bagi jumlah yang berkenaan kepada Mouth & Foot Painting Artists Sdn. Bhd. dengan menggunakan sampul surat balasan yang dilampirkan. 


“Jika anda ingin menempah lebih banyak kad, kalendar dan lain-lain lagi, sila rujuk borang pengiriman untuk maklumat lanjut.


“Tentu sekali, anda tidak terikat dengan apa-apa jua sekalipun dan sekiranya anda tidak mahu membeli kad-kad tersebut, ia boleh dikembalikan dengan menggunakan sampul surat asal dengan menulis “Kembali Kepada Pengirim” di luar sampul surat itu.” Siti Aishah Yaacob (saya telah menulis salinan asal surat ini menggunakan kaki).


Hanya RM42. Dan semoga dengan pembelian ini dapat mengukir senyum dan memberi kelegaan serta membakar semangat juang kepada pelukis-pelukis hebat ini.


Insya-Allah.

Jumaat, 16 April 2021

Tiada Lagi Bayangmu

Al-Fatihah (Abu Bakar Omar)

Dia, seorang daripada pelakon kegemaran saya. 


Lakonannya, tak pernah mengecewakan. Cukup segala rencah setiap kali dia muncul dilayar tv.


Pernah beberapa kali menemubualnya. 


Orangnya tegas. Kata-katanya bersulam makna. Banyak ilmu dan nasihat berguna daripadanya.


Paling penting, setiap kali melihatnya, saya seolah-olah melihat arwah Abah.


Saya pernah kata kepadanya (waktu itu temubual kami di Finas, selesai tugasan saya dengan malu-malu beritahu); 


“Abang iras Abah saya. Abah pembuat roti canai hebat kegemaran saya dan Abang pelakon yang saya segani.”


Saya tunjuk gambar Abah (dalam dompet) kepadanya, dia senyum dan angguk-angguk.


Tuhan, sungguh bertuah Allahyarham Haji Abu Bakar Omar. 


Perginya kembali ke pangkuan Ilahi pada hari Jumaat dan pada bulan penuh berkah, Ramadan.


Sangat beruntung dan istimewa.


Dan sekali lagi, saya bagai mendapat khabar mengejutkan, Abah meninggal, pagi ini.


Waktu badan lemah, lesu. 


Tiada lagi ‘kelibat’ dan ‘iras’ Abah yang dapat saya lihat di dunia realiti. Kedua-duanya sudah dipanggil menghadap Ilahi .

Al-Fatihah (Remli Ibrahim)

(Abah kalau masih ada, umurnya 71 (tahun 1950). Beza 2 tahun saja daripada Allahyarham (tahun 1948)).


Emosi langsung berantakan.


Al-Fatihah.