.

Jumaat, 21 Ogos 2015

Wahai Hati Yang Gelisah


Mendepani hidup yang kian mencabar ini bukan mudah
beberapa kali diri jatuh tergadah
tetapi sedar, hati tak boleh manja, cepat melatah
mengalah, apatah lagi galau melayan gundah

Hidup ini bukan semakin senang - mudah
justeru, selalulah bermuhasabah
agar diri tak mudah hanyut dek rasa gah
mengecap nikmat dunia penuh fatamorgana, serba indah
sedang sifatnya hanya sementara, pinjaman seketika daripada Allah

Wahai hati-hati yang gelisah
usahlah kau berkeluh-kesah
lemah dek resah
nanar dek gundah 
~@snapsqueen~

Rabu, 19 Ogos 2015

Nasi lemak oh nasi lemak...!

Mungkin aku je yang rasa macam ni. Rasa susah dan payah nak dapat merasa sebungkus 'nasi lemak bodo' yang sedap. Sedap rasa nasinya dengan sambal cukup pedas, cukup perasanya. Memang dah payah sangat.

Iya, berlambak je orang berniaga nasi lemak. Macam-macam nama nasi lemak akan kita jumpa, tak kira di mana-mana dan pada bila-bila. Even, tengah malam buta pun still boleh dapat makan nasi lemak. Sayangnya, nak jumpa yang sedap macam dulu-dulu payah yang amat.

Ada juga jenis sedap nasi lemaknya, tetapi si penjual pulak kadang macam biskut. Hari ni meniaga, esok lusa tak muncul. Kemudian timbul semula, tetapi banyaknya jenis memang nak jual nasi lemak je. Tak kisah apa rasa nasi tu, yang penting namanya nasi lemak. Herannya, ramai pulak orang beratur membeli nasi lemak kat situ. Sampai terdetik, depa ni mati rasa ke apa? Ke aku je sejenis yang berkira sangat bab rasa? Nak lemak, nak rasa macam mana lagi. Janji ada sambal, ada bilis, timun, kacang dan telur rebus...lengkaplah nasi lemak tu.

Bagi aku yang pada zaman sebelumnya (ceh...macamlah dah kertu sangat...sorry ye, aku belum nenek-nenek lagi. Masih bergetah, insyaAllah. Hahahaha....!) pernah merasa nasi lemak dengan sambalnya yang sangat sedap, cukup kecewa dengan lambakan nasi lemak yang ada sekarang ni. Lauknya meriah, siap bungkus daun pisang bagai. Sayang, rasa nasi macam nasi putih je. Sambal pun ala-ala...Belum lagi dapat peniaga yang jenis kemut sambal. Order sambal lebih pun, hujung-hujung sudu je dia tambah. Bukan kita mintak tambah free ke apa, mintak lebih sebab sanggup bayar! Itu tak masuk lagi sambal manja, manis yang merapu meraban. Hangin oi!

Nasi lemak berharga RM1.20 yang dibeli bos aku. Tang sambal dan bau nasinya memang WIN. Kalau dibungkus dengan daun pisang lagi bravo!!!
Semalam, bos besar kat office belanja nasi lemak. Simple sangat nasi lemaknya, kacang goreng sebiji pun tak terselit. Tapi, WIN part sambal dan bau nasi lemaknya. Sampai aku sanggup tebalkan muka mintak sebungkus lagi. Pulun depan Mac tak pandang kiri kanan. Member office gelakkan pun aku tak berasa hati.

Iya, bukan senang nak dapat nasi lemak yang sedap. Tambah pulak bagi aku yang cerewet bab sambalnya. sambal kena pedas, perasanya mesti seimbang. Kalau nampak merah menyala-nyala, tapi manis macam sirap buat apa!

Buat bos aku tu, terima kasih banyak ye. Harap lain kali beli banyak bungkus khas untuk aku ye. Cita rasa aku simple je, tak perlu nasi lemak berlauk. Cukup sekadar nasi lemak lengkap sifatnya. Mudah je nak layan tekak aku ni, cuma mesti kena caranya. Kalau tak, tak makan pun tak apa!


Isnin, 17 Ogos 2015

Hah, mereput awal...?

Susu, aku memang tak suka langsung. Tak suka sebab bau dan rasanya bikin meloya sepanjang hari, kembang tekak, senak perut dan segala 'penyakit' mengada yang datang secara spontan tanpa dibuat-buat.

Minggu lepas, waktu ambil stock ubat migraine di klinik, doktor tegur aku sebab berat badan menyusut, mata pucat dan kulit agak kering. Oh ye, aku juga kurang gemar minum air putih/air mineral ataupun air suam. Air tanpa warna memang aku allergic banyak...hahaha!

"Anis, kalau U tak nak mereput awal, baik biasakan tekak U minum susu. Carilah susu yang tak berbau dan rasanya boleh diterima tekak U. U kena set dalam fikiran U, kena minum susu supaya tulang lebih kuat. Badan lebih sihat," bebel Doktor Asmah sambil mencatat rekod kesihatan aku. Hmmm...!

Sayangnya, lepas seminggu barulah datang keinsafan untuk beli dan minum susu. Aku beli beberapa kotak susu berlainan jenama, 4 'nya tekak aku tolak terus tanpa kompromi. Tinggal 1 kotak, dengan penuh debar aku bukak penutupnya dan tuang dalam gelas. Oh, sebelum tu aku dah sumbat dalam peti sejuk biar sejuk supaya bau dan rasanya tak terlalu ketara...teori aku kononnya. Hahahaha!

Alhamdulillah, yang sekotak ni boleh diterima tekak dengan jayanya. Aku teguk sampai ke titisan terakhir. Rasanya tak terlalu berlemak dan sedap sebab sejuk...hehehehe. Jadi, inilah susu pilihan aku dan harapnya terus istiqomah minum sampai habis usia. InsyaAllah, Aamiin. Doakan aku ye, kawan-kawan ^_^

Ahad, 16 Ogos 2015

Mi Celup original...

Payahnya. Beberapa aku dikecewakan dek Mi Celup versi tak original. Eh, ada ke Mi Celup tiruan? Bagi aku yang pernah merasai keenakan Mi Celup original sekitar tahun 1990-an, lambakan hidangan Mi Celup yang ada di pasaran sekarang 'jauh tersasar' daripada rasanya yang sebenar.

Serius, Mi Celup yang ada sekarang lebih pada Mi Sup Celup/Mi Celup Sup...what ever! (...dan ada beberapa kedai yang menjual hidangan ni dengan telus menulisnya sebagai 'Mi Sup Celup', kalau dah tulis macam tu, tak perlu aku nak komen/marah-marahlah sebab dah terang-terang dia tulis 'sup', so rasanya memang sup 'lah 'kan).

Macam mana rasa Mi Celup original? Apakah bezanya dengan Mi Celup yang berlambak dijual sekarang? Bagi aku secara peribadinya, sangat berbeza. Tahun 1990-an, waktu aku mula-mula kenal hidangan ni dan terus jatuh cinta, adalah disebabkan faktor keseimbangan rasa dan rupanya.

Pertama kali aku rasa semangkuk Mi Celup ketika aku 'menumpang' bersekolah di bandar Pasir Mas, Kelantan (untuk setahun). Tepatnya,di Sek. Men.Tendong, Pasir Mas, Kelantan. Ada sebuah gerai menjual Mi Celup berdekatan sekolah tu. Tahun itu tahun peperiksaan, jadi aku dan beberapa teman lain selalu balik lambat untuk sesi study group ataupun kelas tambahan.

Biasanya, selepas habis kelas kami akan singgah makan atau sekadar minum di gerai yang diusahakan seorang wanita berusia lingkungan 50-an bersama anak-anaknya. Awal mengunjungi gerai ni, aku hanya order minum saja. Maklum, bukan orang berduit jadi hanya mampu minum segelas sirap atau teh o panas saja.

Hampir sebulan sekadar hanya order air, suatu petang aku pun order semangkuk Mi + Bihun Celup. Tak sampai 3 minit, semangkuk mi masih berasap-asap sampai depan muka. Kecur liur melihat presentationnya, cukup lengkap dengan sayur kangkung, taugeh, bilis goreng dan sedikit taburan bawang goreng. Ye, cukup simple, tanpa isi ayam, daging mahupun perut lembu. Manakala di atas meja, seperti biasa tersedia set  bahan penambah rasa seperti gula, garam, cuka, sambal cili padi dan kicap.

Memandangkan aku dah biasa tengok cara-cara kawan menambah bahan perasa dalam semangkuk Mi Celup mereka, jadi walaupun untuk pertama kali cuba, aku tak kekok langsung. Dengan terujanya, aku tambah apa yang perlu sesuai cita rasa. Hasilnya sangat awesome, cukup pedas dan masamnya. Pendek kata memang sesuai dengan selera tekak aku.

Setahun, sepanjang tahun itu aku acapkali berulang-alik ke gerai sama sampai tuan kedai dah tau apa yang biasa aku order. Nampak saja muka aku, duduk terus sampai makanan yang dihajati. Hilang penat dan stress belajar dibuatnya.

Selepas tahun itu, aku kembali ke KL. Kembali ke pangkuan keluarga tercinta, meneruskan pengajian dan berkerjaya. Dek kesibukan, jarang sekali aku berpeluang menjejakkan kaki ke bumi serambi Mekah itu. Kebetulan baru nak belajar hidup, duit dalam tangan semendang tak cukup terutama tengah bulan. Jadi, aktiviti menjamu selera selalu terpaksa dilupakan.

Tahun 2005 lebih kurang, ketika kerjaya mula mantap. Kedudukan kewangan semakin stabil, barulah aku berpeluang makan sesedap rasa. Order saja tanpa perlu memikirkan soal bajet, tetapi dek kekangan masa aku masa lagi kurang peluang untuk ke bumi Kelantan lagi. Pilihan yang ada, ke Kampung Baru. Kebetulan, di sana banyak jugak hidangan terkenal Pantai Timur dijual. Dari Nasi Kerabu, Nasi Dagang, Nasi Air, Kuih-muih dan tak ketinggalan Mi Celup kegemaranku.

Ini Mi Celup versi Siam, ada kacang tumbuk dan chili flakes. Rasanya lebih pada Mi Sup!
Cuma, sayang sekali dari segi rasa sudah berubah. Kata seorang teman, kebanyakan Mi Celup yang dijual di Kampung Baru adalah versi Siam. Mi Celup Siam nampak macam sama dengan Mi Celup Kelantan tetapi rasa dan bahannya berbeza sama sekali. Paling mudah nak kenal, tengok saja bahan penambah rasa yang digunakan. Kacang tumbuk (kisar), chili flakes dan sos ikan.

Hmmm...Makanya, keenakan makan semangkuk Mi Celup original tahun 1990 hanya tinggal kenangan. Sebabnya, apabila aku ke Kelantan pun masih tak dapat merasai lagi versi original. Nama sama, tetapi bahan dan rasanya sudah jauh berubah, tetapi tetap menjadi kegemaran ramai.

Sangat besar harapan aku, agar suatu hari nanti aku berjaya jumpa rasa Mi Celup original macam yang pernah aku rasa dulu. InsyaAllah, Aamin.

Sabtu, 15 Ogos 2015

Aku, Dia dan Mamat tong gas...!

Kadang-kadangkan, serabut rasanya berurus niaga dengan segelintir peniaga Melayu ni. Ambil contoh part pengurusan masa, cukuplah. Macam kejadian hari ni, jam 10.30 pagi aku call penjual gas. Order gas tong 14kg. Memang kat rumah tak simpan stock gas, tak ada ruang.

Biasanya, aku call rangkaian Petronas je untuk order gas, tapi memandangkan penghantaran melalui mereka ni ambil masa antara 1-2 jam, jadi aku pun calllah peniaga gas lain. Waktu call, si peniaga ni beritahu akan hantar dalam masa 30 minit. Ok, senanglah hati dengan sekejap aje masa diperlukan untuk hantar gas 'kan. Kebetulan peniaga ni kata dia ada di kawasan berdekatan dengan rumah aku.

Setengah jam berlalu, kain yang aku mesin hampir siap pun tetapi tong gas tak sampai-sampai lagi. Ok, tak apalah aku kasi masa sampai jam 12 tengah hari. Waktu tu, perut dah macam-macam bunyi. Dah terbayang-bayang udang yang dibeli kat pasar tani awal pagi tadi. Nasib dah siang dan basuh bersih, simpan dalam peti ais.

Siap mesin baju dan jemur, tak sampai jua tong gasnya. Kerja aku, dok menjengguk ke tingkat bawah. Kot-kot si penghantar sesat ke block lain. Aku bagi lagi masa, sambil-sambil tu iron baju dan menggemas rumah. Dah siap semua, sekitar jam 1.45 petang, aku dah panas hati. Maka, aku pun call mamat tong tas tu. Tak dijawabnya, sms pun tak berbalas. Huh...Sakitnya tuh di sini...dalam hatiku. Darah dah naik ke kepala, tapi cuba jugak bertenang-tenang. Duduk diam-diam, sambil menggodek apa yang patut dirak buku.

Sedar tak sedar, dah 3.40 petang, tong gas aku tak jua muncul-muncul nich! Membara je hati ni. Dari janjinya 30 minit dah membawa ke 4 jam, bunyi tong gas pun haram!!!

Adakah ini namanya janji Melayu? Ke mamat tong gas ni sorang je yang janji ke laut macam ni? Dahlah hari Sabtu, aku ni sampai tak boleh nak keluar ke mana-mana dok tunggu dia mai. Jam 4 petang, aku call lagi. Langsung tak dijawabnya. Ke mana? Kemalangan di timpa tong gas? Hish...Aku malas nak jahat mulut, tahap kemarahan tu memang tak boleh nak tipulah.

Lapar + marah + geram + kecewa = Melayu, bilalah nak berubah guna pakai 'janji melayu' tu???

Akhirnya hari ni, gigihlah makan di luar. Malas nak fikir dah, esok-esoklah order gas kat peniaga lain. Harap tak kena 'main' lagi dengan 'mamat tong gas'!!!

Rabu, 12 Ogos 2015

Projek Tabung sedekah Subuh...

Mungkin sebab dari kecil tu dah kenal erti susahnya hidup, jadi bagi aku 'sedekah' tu sangat bermakna. Baik sedekah pakaian, makanan atau duit, tetapi korang percaya tak bahawasanya mengamalkan sedekah tu bukan saja melapangkan dada penerima sedekah, malah pemberinya. Kenapa?

Ok, bagi orang yang menerima sedekah, berasa lapang dada, dihargai, diperhatikan dan disayangi perkara biasa. Aku rasa hal sama waktu menerima sedekah yang dihulur suatu masa dulu, walaupun hanya pakaian terpakai, tetapi besarnya rahmat buat aku dan adik-adik Allah saja Maha Mengetahuinya.

Apabila ada pendapatan sendiri (sebenarnya, seawal umur 15 tahun aku dah cuba-cuba bekerja dan pegang duit sendiri. Kerja di kilang percetakan buku computer waktu cuti sekolah, kemudian sambung pulak masa cuti tunggu result SPM), aku usahakan didik hati dan diri untuk mudahkan menghulur bantuan serta sumbangan kepada orang lain. Walau nilainya tak sebesar mana, tetapi mesti buat.

Kebiasaan (tabiat) tu berlanjutan sampai sekarang, Alhamdulillah. Allah tak biar aku hanyut dengan keselesaan hidup, masih buka mata hati untuk melapangkan kehidupan orang lain dengan cara sendiri. Hmmm...Mungkin aku tak mampu nak menghulur banyak, tetapi aku pastinya bantuan atau sumbangan itu berbaloi buat penerimanya.

Ada satu baris ayat ni, aku rasa mungkin korang biasa jumpa di mana-mana, atau disebut sesiapa. "Tidak akan pernah rugi bagi orang yang bersedekah, malah dilimpahkan kepadanya ganjaran dan nikmat berganda daripada Allah SWT." Dalam makna kata lain, setiap yang kita sedekahkan, Dia akan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik, melipat gandakan ganjaran dan melapangkan rezeki kita, InsyaAllah.

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ada di Arasy, yang dikirim Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka, siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, niscaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, niscaya Allah menyedikitkan baginya.” H.R. ad-Daruquthni dari Anas r.a.

Makna kata lain, jangan tunggu ada duit lebih (atau barang lebih) baru nak bersedekah. Tak perlu pun, yang perlunya ikhlaskan setiap pemberian kita. Jangan berkira-kira (misalnya, takut tak cukup. Aku tak kata orang lain, kata pada diri sendiri. Pernah terjadi, aku ke pasar tani bawa duit RM50. Sepanjang jalan nak ke kawasan jual barang basah (ikan, daging dan sayur), aku jumpa beberapa orang pengemis, tetapi terdetik, eh kang tak cukup bajet pulak nak beli barang. Macam tersedar dari mimpi, cepat-cepat aku beristighfar. Sambil-sambil beli barang tu, aku gigih bajet biar ada baki. Alhamdulillah, kalau kita ada niat nak buat kebaikan mesti ada bantuan dan kemudahan daripada Allah), buat saja korang akan rasa betapa lapangnya dada.

Cumanya, ada beberapa kaedah mungkin boleh kita amalkan dalam proses melancarkan 'projek tamak pahala' ni. Kebetulan sangat semalam lepas Subuh, aku terbaca di satu link dalam facebook berkongsi info pasal 'Tabung Sedekah Subuh'. Info yang dikongsikan sangat menarik dan dengan rasa terujanya aku terus buat. Aku 'wujudkan' satu tabung khas yang nantinya boleh aku gunakan untuk disalurkan kepada sesiapa saja yang memerlukan.

Sila abaikan botol sos yang aku guna pakai tu hehehe.
'Tabung Sedekah Subuh' ni, korang boleh gunakan untuk salurkan ke rumah anak yatim, fakir miskin atau sesiapa saja yang layak menerima sedekah tu. Tabung ni boleh jadi 'simpanan sedekah' sepanjang sebulan, dua minggu, atau seminggu. Bergantung kepada korang nak urusan macam mana. Tabung ni letak aje di ruang tamu, lepas Subuh (ambil waktu paling AFDHAL, sebaiknya SELEPAS SUBUH dan SEBELUM SYURUK) setiap orang yang ada dalam rumah korang boleh masukkan berapa pun (RM0.10, RM0.50, RM1, RM5, RM10 atau berapa pun jumlahnya) sumbangan (sedekah) dalam tabung ni. Cukup masanya, boleh buat serahan kepada yang berkenaan.

Kalau korang out station still boleh amalkan 'projek Tabung Sedekah Subuh' ni, sediakan sampul surat (sampul duit raya ke) dalam beg duit, setiap kali lepas Subuh, masukkan sedekah korang dalam sampul tu. Mudahkan.

Aku sangat berterima kasih kepada yang berkongsi info ni dan maaf, apabila aku kongsikan di sini bukan niat aku nak riak atau menunjuk-nunjuk. Sekadar mahu berkongsi dengan korang benda baik yang boleh kita amalkan bersama dan aku rasa cara ni sangat membantu kita menjadi lebih istiqomah. InsyaAllah.

Bersedekahlah, banyak hikmahnya. Aku rasa korang pun mungkin pernah menikmati kesan daripada mengamalkan sedekah ni. Kalau belum pernah, cubalah buat InsyaAllah korang takkan rasa menyesal walau sezarah pun, sebaliknya akan jadi 'ketagih' untuk amalkan selalu. Aku sendiri dah rasa betapa besarnya hikmah, nikmat dan ganjaran bersedekah ni. Sesungguhnya janji-janji Allah itu pasti. Kita takkan pernah menyesal apabila membuat kebaikan.

Kepada korang yang sudah pun 'melancarkan' projek hebat ni, Alhamdulillah dan tahniah. Semoga kita sama-sama istiqomah dalam mengamalkannya. Kalau sudi, sebarkan info ni kepada kaum keluarga, rakan taulan dan sesiapa saja. Mari sama-sama kita jayakan 'projek tamak pahala' ni, ok.

Sabtu, 8 Ogos 2015

Cerita kahwin...

Hari ni cuti hujung minggu 'kan, so macam biasa inilah masanya nak berjimba dengan kengkawan yang asyik bising kononnya aku ni sibuk kalah menteri (ok...perkataan menteri tu agak sensitif/panas ketika ini di telinga aku...so, jangan cuba-cuba guna ye...Awas Lu!).

Sebenarnya, memang agak lama jugak aku tak keluar lepaking dengan depa. Banyak kerjaan nak buat, walaupun cuti ada aje yang nak digodek kat rumah termasuk buat stock bekalan makanan frozen. Biasalah, kerja tak tentu masa macam aku kena pandai guna waktu cuti.

Memandangkan hari ni memang aku set'kan untuk bersama geng jimba, jadi semua aktiviti masak-memasak ditangguhkan sampailah habis sesi berjimba-jimbaan.

Sepatutnya hari ni geng berjimba ada 3 orang, tapi salah seorangnya kena ikut suami balik kampung ada hal keluarga. Jadi, tinggallah aku dan S saja. Kami pilih lepaking di AEON Wangsa Maju je, dekat dengan rumah masing-masing. Kalau terlajak, taklah jauh sangat nak balik. Paling penting, parking murah. Makanan ada macam-macam pilihan. Hehehe...

Awal sesi lepaking, kami pilihan makan dan bersantai di KFC je. Senang, pilih tempat paling sudut dan kurang laluan budak-budak. Bukan apa, aku cepat migraine kalau nampak budak-budak berlari dan menangis. Mulalah rasa rimas satu badan. Erk..Sorry. Aku suka budak-budak tapi cepat rimas kalau jenis yang 'menggeletis' sepanjang masa. Hahahaha.

Kami memang geng tamak sos, kalau kasi sebotol pun boleh habis hehehe.
Sambil makan, macam biasalah sembang itu ini. Masing-masing berebut nak bercerita. Topiknya pelbagai, termasuk isu yang sedang hangat melanda negara ketika ini. S yang dalam perancangan nak menamatkan zaman bujangnya (dijangka awal tahun depan) dah mula seram sejuk memikirkan soal bajet.

"Kalau duduk di kampung, boleh jugak buat cara rewang. Pinggan mangkuk, dulang boleh pinjam dari surau atau masjid. Tukang masak boleh ajak sedara dan jiran terdekat. Ini, kita duduk di KL. Nak rewang macam mana kalau kawasan rumah pun sekangkang kera. Part makanan saja pun jenuh aku buat bajet, tak lepas-lepas ni. Belum lagi barang hantaran dan benda-benda lain," cerita S, sambil menguis-nguis pinggan berisi nasi dan dua ketul ayam yang masih tak luak mana.

"Mak aku pulak, nak adakan majlis lengkap dengan pelamin, khemah, siap dengan meja makan beradap sekali. Kau bayangkan, betapa sendatnya kepala aku ni," tambahnya lagi.

Aku hanya diam, memberi ruang dan masa untuk S meluahkan kerisauan di hatinya. Bagi aku, sahabat yang baik dan memahami bukan saja memberi nasihat, tetapi menjadi pendengar yang baik. Jadi, dengar dulu luahan hatinya. Harap lega sikitlah beban perasaan yang ditanggungnya.

"Kau tau 'lah, hidup lepas kahwin lagi banyak nak pakai duit. Lagipun, bakal suami aku tu bukan orang berduit sangat, lebih kurang aku je. Dia ada jugak cadangkan tangguh dulu plan kahwin ni, tapi aku fikir kalau tangguh pun bukan boleh selesai masalah. Umur aku pun bukan muda sangat, kalau boleh sebelum 35 tahun tu aku nak pencen beranak!"

Kata-kata S mencuit hati aku, kebimbangannya tu buat aku rasa macam aku ni dah terlambat sangat nak beranak-pinak. Hahaha!

"Cubalah bincang dengan keluarga kau baik-baik. Beritahu keluarga kau berapa bajet yang kau ada untuk majlis kahwin tu. Kahwin ni, sebetulnya kita buat yang wajib saja pun dah ok, tapi biasalah orang tua 'kan mesti nak tengok majlis kahwin anak dia meriah. Cadangan aku, kau buat solat tahajud, solat hajat dan bincang dengan keluarga baik-baik. InsyaAllah, kau nak buat benda baik 'kan, mesti ada jalan keluarnya," kata aku selepas S mendiamkan diri dan tekun menikmati ayam gorengnya.

Hmmm...Sejujurnya, kalau aku di tempat S pun mau migraine memikirkan bab kahwin ni. Bajet nak kahwin satu hal, dah kahwin pun satu hal jugak. Kalau tak kahwin, orang keliling sibuk bertanya. Macam-macam soalan yang depa tanya, macamlah urusan jodoh tu kerja kita. Kalau kita cakap belum sampai jodoh, kata depa kita memilih. Bila dah kahwin, sibuk pulak tanya bila nak beranak. Bila dah beranak, tanya pulak bila nak tambah anak. Hai...berapa banyaklah soalan dalam kotak rahsia depa nich???

Jumaat, 7 Ogos 2015

Alahai nasi lemak...!

Pagi tadi, lepas selesai urusan di klinik terus menggelupur cari sarapan. Mau tak lapar, dari jam 10 malam sebelumnya kena puasa sampai jam 10.30 pagi ni (untuk ambil ujian darah). So, maunya tak kebulur! Waktu ni kat area Taman Melati masih banyak orang jual nasi lemak berlauk.

Aku singgah kat gerai makcik ni, umur dia dalam lingkungan 50-an. Lepas jenguk-jenguk lauk yang ada, aku pun pilihlah nasi lemak berlauk sambal kepak ayam. Dek perut lapar, semua nampak sedap termasuk kuih. Kecil molek je, tapi RM2 untuk 5 ketul.

Lepas siap bungkus nasi, aku pun hulur RM10. Sekali makcik tu pulangkan baki, RM2.50. Aku dah terlopong cantik je depan makcik tu.

"Acik, berapa harga nasi lemak ni?"

"RM5.50."

Terangkat kening aku, ingatkan makcik tu tersilap bagi baki. Dengan rasa ralat dan sedikit tak puas hati, aku kutuk diri sendiri sebab selalu sangat tak tanya harga dulu kalau beli apa-apa. Dah dibungkus, dah ditimbang...baru tahu harga. Pengajaran sangat!

Sebenarnya aku tak kisah nasi tu harganya RM5.50 sebungkus, cuma kalau tengokkan kuantitinya macam tak layak pun nak letak harga semahal tu. Dengan nasi separuh mangkuk je, kacang 3-4 butir, hirisan timun 2 kerat dan sedikit telur rebus. Sambal langsung tak letak sebab dah ambik sambal ayam 'kan. Hmmm...Tak apalah, next time takmo p lagi beli nasi lemak makcik tu dan next time juga kena tanya dulu harganya walaupun ia adalah 'nasi lemak'!

Ni 'la nasi lemak RM5.50 tu. Bagi aku, mahal. Mungkin bagi Uolls tak kot.