.

Ahad, 16 Ogos 2015

Mi Celup original...

Payahnya. Beberapa aku dikecewakan dek Mi Celup versi tak original. Eh, ada ke Mi Celup tiruan? Bagi aku yang pernah merasai keenakan Mi Celup original sekitar tahun 1990-an, lambakan hidangan Mi Celup yang ada di pasaran sekarang 'jauh tersasar' daripada rasanya yang sebenar.

Serius, Mi Celup yang ada sekarang lebih pada Mi Sup Celup/Mi Celup Sup...what ever! (...dan ada beberapa kedai yang menjual hidangan ni dengan telus menulisnya sebagai 'Mi Sup Celup', kalau dah tulis macam tu, tak perlu aku nak komen/marah-marahlah sebab dah terang-terang dia tulis 'sup', so rasanya memang sup 'lah 'kan).

Macam mana rasa Mi Celup original? Apakah bezanya dengan Mi Celup yang berlambak dijual sekarang? Bagi aku secara peribadinya, sangat berbeza. Tahun 1990-an, waktu aku mula-mula kenal hidangan ni dan terus jatuh cinta, adalah disebabkan faktor keseimbangan rasa dan rupanya.

Pertama kali aku rasa semangkuk Mi Celup ketika aku 'menumpang' bersekolah di bandar Pasir Mas, Kelantan (untuk setahun). Tepatnya,di Sek. Men.Tendong, Pasir Mas, Kelantan. Ada sebuah gerai menjual Mi Celup berdekatan sekolah tu. Tahun itu tahun peperiksaan, jadi aku dan beberapa teman lain selalu balik lambat untuk sesi study group ataupun kelas tambahan.

Biasanya, selepas habis kelas kami akan singgah makan atau sekadar minum di gerai yang diusahakan seorang wanita berusia lingkungan 50-an bersama anak-anaknya. Awal mengunjungi gerai ni, aku hanya order minum saja. Maklum, bukan orang berduit jadi hanya mampu minum segelas sirap atau teh o panas saja.

Hampir sebulan sekadar hanya order air, suatu petang aku pun order semangkuk Mi + Bihun Celup. Tak sampai 3 minit, semangkuk mi masih berasap-asap sampai depan muka. Kecur liur melihat presentationnya, cukup lengkap dengan sayur kangkung, taugeh, bilis goreng dan sedikit taburan bawang goreng. Ye, cukup simple, tanpa isi ayam, daging mahupun perut lembu. Manakala di atas meja, seperti biasa tersedia set  bahan penambah rasa seperti gula, garam, cuka, sambal cili padi dan kicap.

Memandangkan aku dah biasa tengok cara-cara kawan menambah bahan perasa dalam semangkuk Mi Celup mereka, jadi walaupun untuk pertama kali cuba, aku tak kekok langsung. Dengan terujanya, aku tambah apa yang perlu sesuai cita rasa. Hasilnya sangat awesome, cukup pedas dan masamnya. Pendek kata memang sesuai dengan selera tekak aku.

Setahun, sepanjang tahun itu aku acapkali berulang-alik ke gerai sama sampai tuan kedai dah tau apa yang biasa aku order. Nampak saja muka aku, duduk terus sampai makanan yang dihajati. Hilang penat dan stress belajar dibuatnya.

Selepas tahun itu, aku kembali ke KL. Kembali ke pangkuan keluarga tercinta, meneruskan pengajian dan berkerjaya. Dek kesibukan, jarang sekali aku berpeluang menjejakkan kaki ke bumi serambi Mekah itu. Kebetulan baru nak belajar hidup, duit dalam tangan semendang tak cukup terutama tengah bulan. Jadi, aktiviti menjamu selera selalu terpaksa dilupakan.

Tahun 2005 lebih kurang, ketika kerjaya mula mantap. Kedudukan kewangan semakin stabil, barulah aku berpeluang makan sesedap rasa. Order saja tanpa perlu memikirkan soal bajet, tetapi dek kekangan masa aku masa lagi kurang peluang untuk ke bumi Kelantan lagi. Pilihan yang ada, ke Kampung Baru. Kebetulan, di sana banyak jugak hidangan terkenal Pantai Timur dijual. Dari Nasi Kerabu, Nasi Dagang, Nasi Air, Kuih-muih dan tak ketinggalan Mi Celup kegemaranku.

Ini Mi Celup versi Siam, ada kacang tumbuk dan chili flakes. Rasanya lebih pada Mi Sup!
Cuma, sayang sekali dari segi rasa sudah berubah. Kata seorang teman, kebanyakan Mi Celup yang dijual di Kampung Baru adalah versi Siam. Mi Celup Siam nampak macam sama dengan Mi Celup Kelantan tetapi rasa dan bahannya berbeza sama sekali. Paling mudah nak kenal, tengok saja bahan penambah rasa yang digunakan. Kacang tumbuk (kisar), chili flakes dan sos ikan.

Hmmm...Makanya, keenakan makan semangkuk Mi Celup original tahun 1990 hanya tinggal kenangan. Sebabnya, apabila aku ke Kelantan pun masih tak dapat merasai lagi versi original. Nama sama, tetapi bahan dan rasanya sudah jauh berubah, tetapi tetap menjadi kegemaran ramai.

Sangat besar harapan aku, agar suatu hari nanti aku berjaya jumpa rasa Mi Celup original macam yang pernah aku rasa dulu. InsyaAllah, Aamin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan