.

Sabtu, 1 Oktober 2022

Gagal?

Tetaplah terleka pada zon tertentu yang hanya kita rasa selesa



Ya ampun. Seriuslah, lama gila bertapa dalam 'gua' sampai berbulan tak masuk tinggalkan jejak sini. 

Haaa... Setiap kita ada kesibukan sendiri, bukan.

Disibukkan itu dan ini. Padahalnya, gagal urus masa. Sedangkan, kita semua ada 24 jam sehari. Pun, tetaplah terleka pada zon tertentu yang hanya kita rasa selesa.

Begitulah halnya aku, barangkali... Hahaha... Manusia, tak pernah gagal menzalimi diri sendiri. Sama ada tanpa sedar atau memang sedar. Tapi, tetap terus buat dan buat hingga akhirnya, mati dalam penyesalan.

Allahu, semoga kita semua dilindungi daripada terus khayal dalam nikmati dunia yang hanya fatamorgana sifatnya.

Sungguh tiada yang kekal melainkan, DIA.

Khamis, 14 Julai 2022

Perlukah?



"Aku nak kahwin, Bebb. Aku nak. Tapi..."


Jeda.


Lama sekali. Buat rasa rimas dan lemas berdatang sekejapan.


Kopi Ais yang sudah pun mencair aisnya aku sedut perlahan dan lama.


"Aku takut dia tak boleh terima keadaan keluarga aku yang pelik, tak macam keluarga dia. Tak macam keluarga kebanyakan orang. Macam mana kalau dia benci keluarga aku, mana mana aku sendiri benci keadaan keluarga aku?"


Diam-diam aku mengeluh, berat. Aku percaya, berat lagi beban perasaan yang ditanggung kawan baik aku ni. Ini bukan kali pertama dia beritahu tahu nak kahwin. Sudah berkali-kali. Dan, berkali-kali juga aku memberi pesan dan cadangan.


"Aku takut, tapi aku pun ada perasaan dan impian. Aku berharap sangat nak hidup sama dia. Tapi, macam mana? Boleh ke dia terima aku dan keluarga aku seadanya?


"Macam mana kalau dia hilang hormat kat aku disebabkan keadaan keluarga aku? Macam mana kalau dia 'ayam-ayam' kan aku disebabkan perangai mak ayah aku yang pelik-pelik tak macam mak ayah orang lain?"


Nyaris tersembur air kopi ais yang sedang aku teguk mendengar perkataan 'ayam-ayam' dalam luahan rasanya itu.


Ya Tuhan. Semoga Engkau permudah urusan temanku ini. Kuatkan hati dan semangatnya. Hadiahkan dia teman hidup yang menerima diri dan keluarga apa adanya. Dakaplah kedua-duanya dengan kasih sayang-Mu nan tiada tara. Sungguh, aku ingin melihat dia bahagia.

Isnin, 28 Februari 2022

Begitulah




Lama betul tak meninggalkan catatan di sini. Sibuk sana, sini. Pagi bertukar malam. hari berganti minggu. Bulan beralih ke tahun. Sedar-sedar sudah masuk tahun 2022. 


Sudah bulan Mac, Allahu. Pantas sekali masa berlalu meninggalkan kita.


Dan benarlah, demi masa, sesungguh manusia itu dalam kerugian yang nyata. Meningkat usia, tenang tak semakin bertambah tetapi sebaliknya. Beban hidup juga tak berkurang, bertambah hari ke hari.


Begitulah.


Pun kita masih mengejar. Sedang, banyak sekali hal utama yang kita tinggal dan abaikan. Mungkin tanpa sedar atau dalam sedar.


Mencari dan terus mencari, sedang yang pasti ada di depan mata.


Mengharap dan terus berharap, padahal harapan tinggal dilunaskan saja.


Ya, begitulah hidup ini.


Penuh fatamorgana.


Sama ada kita mahu mengakui atau sebaliknya.


Lucu, bukan.