.

Memaparkan catatan dengan label notachentaSnapsqueen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label notachentaSnapsqueen. Papar semua catatan

Ahad, 27 Disember 2020

Bukan Aku

 




Bukan sekali dua aku gelakkan diri sendiri. Banyak kali. 


Aku memang selalu juga fikir, kenapa ya aku biarkan aje orang buli perasaan aku?

 

Tak berharga sangat ke perasaan aku ni, sampai orang suka hati aje buat aku begitu?


Dan buat sekian kalinya, aku masih biarkan juga keadaan itu berlaku pada diri ini.


Aku masih layan, aku masih beri ruang dan peluang emosi aku dipijak-pijak.


Bukan tak sakit, dah tahap koyak rabak sana ini.


Aku dah penat sebenarnya hadap semua tu, kadang memang aku dengan sengajanya biarkan. Aku malas nak fikir. Lantakkan aje, asalkan tukang jahanamkan emosi aku tu puas.


Mungkin itu kebahagiaan dia, buat emosi aku rabak.


Bahagia?


Teruskan.


Aku? Walau ada ketika, muncul rasa nak membalas... Tapi hati dan fikiran aku menolak. Itu bukan aku. 




Aku tak 'mampu' nak buat macam tu.


Aku tak boleh, aku tak sanggup.

Rabu, 9 Oktober 2019

Oktober Yang Terpilu


Tarikh hari ini, kalau boleh aku tak mahu ingat langsung. Sejak beberapa peristiwa hitam berlaku pada tarikh ini, aku off telefon. Hilang seketika daripada media sosial.


Walau tak ramai yang tahu atau perasaan, aku berusaha keras hilangkan diri hanya untuk melindungi emosi sendiri.


Bagi aku secara peribadi, tiada yang manis di bulan OKTOBER.


Walau aku berkongsi Oktober yang sama dengan arwah Abah ( Tuan Remli Tuan Ibrahim), tetapi Abah tak ada. Banyak hal yang aku terkilan dan rasa sangat berdosa membabitkan Abah. Sampai sekarang, aku masih mampu maki diri sendiri dek rasa itu.


Pada tarikh sama seperti hari ini, aku kehilangan seorang sahabat. Biar kami berlainan bangsa, tetapi dia istimewa dalam hati aku. Becca, aku rindu kau.


Oktober, tiada lagi ucapan manis daripada seorang TTM. Aku tahu dia di mana, tetapi aku tak boleh lagi mendekatinya. 


Dan sama seperti tahun-tahun sebelumnya, tahun ini aku masih dalam 'hidup dan emosi' sama menyambut #Oktober ,


Aku masih tak mampu mengucapkan #HelloOctober . 


Oktober, masih lagi menjadi yang terpilu dalam hatiku. Merangkul kemas dan kejab.


Maafkan aku.

Jumaat, 21 Ogos 2015

Wahai Hati Yang Gelisah


Mendepani hidup yang kian mencabar ini bukan mudah
beberapa kali diri jatuh tergadah
tetapi sedar, hati tak boleh manja, cepat melatah
mengalah, apatah lagi galau melayan gundah

Hidup ini bukan semakin senang - mudah
justeru, selalulah bermuhasabah
agar diri tak mudah hanyut dek rasa gah
mengecap nikmat dunia penuh fatamorgana, serba indah
sedang sifatnya hanya sementara, pinjaman seketika daripada Allah

Wahai hati-hati yang gelisah
usahlah kau berkeluh-kesah
lemah dek resah
nanar dek gundah 
~@snapsqueen~

Isnin, 16 Februari 2015

Mengapa Menunggu Sore?


Benda yang paling susah nak buat, ‪#‎ISTIQOMAH‬ . Tidak boleh diwarisi tetapi mampu dipelajari dan diusahakan. InsyaAllah.

“Jika engkau berada di waktu sore, maka janganlah menunggu pagi. Jika engkau berada di waktu pagi, janganlah menunggu waktu sore. Manfaatkanlah masa sehatmu sebelum datang sakitmu dan manfaatkanlah hidupmu sebelum datang matimu.” (HR. Bukhari no. 6416).

Selasa, 16 September 2014

Desir Rindu


Semalam yang berlalu, tak terpintas hari ini
Perlahan-lahan mencari jejak yang tertinggalkan
Dengan harap, masih ada bersisa biar sekelumit
Sayang sekali...amat sayang tak terjejak...

Aku belum terlupa itu, detik hilangnya kabus dari pandangan
Saat lenyapnya desir angin di celah-celah dengarku
Membawa rindu tak bersambut
Mendakap kasih nan sepi...

Hati dan fikirku bertingkah-tingkah
Saling menyalah dan membenarkan
Tiada lagi tertinggal sekelumit kasih jua rindu
Berselubung di hati mungkin tinggal jejak benci nan sangat!

#notacintaSnapsqueen

Ahad, 20 Oktober 2013

Ada Rama-rama Dalam Hatiku


...engkau datang lagi
menerjah-nerjah kotak ingatanku
setiap ucap kata terniang-niang satu demi satu

...engkau
datang mengusik damainya rasa
buat aku terkejang kaku bisu
arghhh, kenapa tak engkau menjauh saja
biar aku sendiri membalut semua luka

...ya, aku harus akui
menghapus jejak engkau payah sekali
bikin aku mahu menjerit 
biar isi dunia tahu betapa sakitnya beban dalam dada 

...iya, aku tahu semua bukan salah engkau
mahunya engkau yang muluk-muluk saja
sayangnya kita masih ada buku takdir
yang menulis segala rahsia hidup
masih berhijab semuanya

...mahu aku juga seperti engkau, serba muluk
serba mulus
tetapi sayangnya, kehendak takdir yang tertulis di Luh Mahfuz tidak begitu catatannya
lalu bagaimana harus aku menyikapi kemahuan engkau itu???

...bertanya-tanya aku pada Yang Maha Mengetahui
bagaimana takdir aku sesudah ini
masih belum punya jawabannya
termanggu aku, di celah-celah kesakitan yang amat sangat

...iya benar, menghapus jejakmu itu payah sekali.

Khamis, 7 Mac 2013

Tika...

Foto: Google

Wahai teman,
Maafkan… jarak menjauhkan kita dan aku tahu aku terleka. Tanpa sedari kau telah berlalu. Pergi tanpa pamit walau sepatah kata. Tatkala dicuit rindu, baru aku sedar,  baru aku perasan, dalam hati terdetik, 'eh..mana kau?'

Wahai teman,
Kau menghilang, tiba-tiba kenangan  kita  menyapa … rasa kosong,  penuh kekosongan. Sepi dan sunyi… Aku cari kau  merata-rata, akhirnya aku jumpa. Kini kita dicampakkan ke tempat yang berlainan, kita leka dengan dunia  baru. Kita dengan kehidupan yang serba berbeza.

Wahai teman,
Aku malu untuk memula bicara, takut mengganggu. Mungkin kau pun fikir begitu. Lalu, hari berganti hari, kita terus menyepi tanpa kata. Hubungan  kita makin berantakan,  ada rahsia antara  kita. Aku dan kau mendiamkan diri.

Wahai teman,
Aku sedar,  tanpa aku, kau  masih boleh berdiri, bergelak ketawa seperti waktu kita masih bersama. Aku andaikan, kau sudah temui pengganti. Tak mengapa, selagi aku tahu kau bahagia,  aku puas walau kita tidak bersama. Tidak lagi berkongsi cerita, canda dan tawa. Walau kita di laluan berbeza, kau tetap sahabatku selamanya.

Wahai teman,
Memori kita tika bersama akan sentiasa  tersemat indah di dalam hati dan ingatan. Senyum waktu itu masih tergiang-ngiang di ruang ingatan. Hangatnya kasih sayang yang kau curahkan, masih segar dalam hati. Pesan dan kata-kata kau selalu menjadi api yang membakar semangatku setiap kali aku mahu rebah.

Wahai teman,
Bukan salah siapa-siapa, cuma kadangkala kita terleka.
Bukan juga salah si jarak, kerana kita sendiri khilaf.

Kita leka dan khilaf.