.

Rabu, 12 Ogos 2015

Projek Tabung sedekah Subuh...

Mungkin sebab dari kecil tu dah kenal erti susahnya hidup, jadi bagi aku 'sedekah' tu sangat bermakna. Baik sedekah pakaian, makanan atau duit, tetapi korang percaya tak bahawasanya mengamalkan sedekah tu bukan saja melapangkan dada penerima sedekah, malah pemberinya. Kenapa?

Ok, bagi orang yang menerima sedekah, berasa lapang dada, dihargai, diperhatikan dan disayangi perkara biasa. Aku rasa hal sama waktu menerima sedekah yang dihulur suatu masa dulu, walaupun hanya pakaian terpakai, tetapi besarnya rahmat buat aku dan adik-adik Allah saja Maha Mengetahuinya.

Apabila ada pendapatan sendiri (sebenarnya, seawal umur 15 tahun aku dah cuba-cuba bekerja dan pegang duit sendiri. Kerja di kilang percetakan buku computer waktu cuti sekolah, kemudian sambung pulak masa cuti tunggu result SPM), aku usahakan didik hati dan diri untuk mudahkan menghulur bantuan serta sumbangan kepada orang lain. Walau nilainya tak sebesar mana, tetapi mesti buat.

Kebiasaan (tabiat) tu berlanjutan sampai sekarang, Alhamdulillah. Allah tak biar aku hanyut dengan keselesaan hidup, masih buka mata hati untuk melapangkan kehidupan orang lain dengan cara sendiri. Hmmm...Mungkin aku tak mampu nak menghulur banyak, tetapi aku pastinya bantuan atau sumbangan itu berbaloi buat penerimanya.

Ada satu baris ayat ni, aku rasa mungkin korang biasa jumpa di mana-mana, atau disebut sesiapa. "Tidak akan pernah rugi bagi orang yang bersedekah, malah dilimpahkan kepadanya ganjaran dan nikmat berganda daripada Allah SWT." Dalam makna kata lain, setiap yang kita sedekahkan, Dia akan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik, melipat gandakan ganjaran dan melapangkan rezeki kita, InsyaAllah.

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ada di Arasy, yang dikirim Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka, siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, niscaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, niscaya Allah menyedikitkan baginya.” H.R. ad-Daruquthni dari Anas r.a.

Makna kata lain, jangan tunggu ada duit lebih (atau barang lebih) baru nak bersedekah. Tak perlu pun, yang perlunya ikhlaskan setiap pemberian kita. Jangan berkira-kira (misalnya, takut tak cukup. Aku tak kata orang lain, kata pada diri sendiri. Pernah terjadi, aku ke pasar tani bawa duit RM50. Sepanjang jalan nak ke kawasan jual barang basah (ikan, daging dan sayur), aku jumpa beberapa orang pengemis, tetapi terdetik, eh kang tak cukup bajet pulak nak beli barang. Macam tersedar dari mimpi, cepat-cepat aku beristighfar. Sambil-sambil beli barang tu, aku gigih bajet biar ada baki. Alhamdulillah, kalau kita ada niat nak buat kebaikan mesti ada bantuan dan kemudahan daripada Allah), buat saja korang akan rasa betapa lapangnya dada.

Cumanya, ada beberapa kaedah mungkin boleh kita amalkan dalam proses melancarkan 'projek tamak pahala' ni. Kebetulan sangat semalam lepas Subuh, aku terbaca di satu link dalam facebook berkongsi info pasal 'Tabung Sedekah Subuh'. Info yang dikongsikan sangat menarik dan dengan rasa terujanya aku terus buat. Aku 'wujudkan' satu tabung khas yang nantinya boleh aku gunakan untuk disalurkan kepada sesiapa saja yang memerlukan.

Sila abaikan botol sos yang aku guna pakai tu hehehe.
'Tabung Sedekah Subuh' ni, korang boleh gunakan untuk salurkan ke rumah anak yatim, fakir miskin atau sesiapa saja yang layak menerima sedekah tu. Tabung ni boleh jadi 'simpanan sedekah' sepanjang sebulan, dua minggu, atau seminggu. Bergantung kepada korang nak urusan macam mana. Tabung ni letak aje di ruang tamu, lepas Subuh (ambil waktu paling AFDHAL, sebaiknya SELEPAS SUBUH dan SEBELUM SYURUK) setiap orang yang ada dalam rumah korang boleh masukkan berapa pun (RM0.10, RM0.50, RM1, RM5, RM10 atau berapa pun jumlahnya) sumbangan (sedekah) dalam tabung ni. Cukup masanya, boleh buat serahan kepada yang berkenaan.

Kalau korang out station still boleh amalkan 'projek Tabung Sedekah Subuh' ni, sediakan sampul surat (sampul duit raya ke) dalam beg duit, setiap kali lepas Subuh, masukkan sedekah korang dalam sampul tu. Mudahkan.

Aku sangat berterima kasih kepada yang berkongsi info ni dan maaf, apabila aku kongsikan di sini bukan niat aku nak riak atau menunjuk-nunjuk. Sekadar mahu berkongsi dengan korang benda baik yang boleh kita amalkan bersama dan aku rasa cara ni sangat membantu kita menjadi lebih istiqomah. InsyaAllah.

Bersedekahlah, banyak hikmahnya. Aku rasa korang pun mungkin pernah menikmati kesan daripada mengamalkan sedekah ni. Kalau belum pernah, cubalah buat InsyaAllah korang takkan rasa menyesal walau sezarah pun, sebaliknya akan jadi 'ketagih' untuk amalkan selalu. Aku sendiri dah rasa betapa besarnya hikmah, nikmat dan ganjaran bersedekah ni. Sesungguhnya janji-janji Allah itu pasti. Kita takkan pernah menyesal apabila membuat kebaikan.

Kepada korang yang sudah pun 'melancarkan' projek hebat ni, Alhamdulillah dan tahniah. Semoga kita sama-sama istiqomah dalam mengamalkannya. Kalau sudi, sebarkan info ni kepada kaum keluarga, rakan taulan dan sesiapa saja. Mari sama-sama kita jayakan 'projek tamak pahala' ni, ok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan