.

Monday, January 26, 2015

Zamani yang aku kenali...

ADEK, itu panggilan kami (rakan media yang mengenali Zamani sejak awal kemunculan Kumpulan Slam sekitar tahun 90-an). Kenangan yang masih melekat dalam ingatan, tentunya pelancaran album mereka yang diadakan di Cherating, Kuatan, Pahang. Mungkin kerana ketika itu, kali pertama aku menjejakkan kaki ke pantai nan indah tu.

Waktu itu, Slam memang tengah hot. Peminat-peminat terutama perempuan akan terjerit-jerit kalau nampak kelibat mereka. Maklumlah, masing-masing tengah muda belia dan Adek tentunya paling menonjol. Vokalis memang lebih popular, itu biasa 'kan.

Adek yang aku kenali, cukup terjaga personalitinya. Bahasa dan pelakuannya santun. Senyum sentiasa menjadi teman setia walau sesukar dan sepanas mana soalan diasak rakan wartawan. Masih aku ingat, rombongan media bersama Slam ke Cherating disertai wartawan hiburan hebat dan otai. Aku pulak, baru dua tahun menjawat jawatan itu. Jadi, bertemu Slam yang cukup popular ketika itu tentunya satu pengalaman baru. Apatah lagi kali ni, lebih banyak waktu untuk kami (media) mendekatinya.

Sepanjang dua hari satu malam (seingat aku 'lah, dulu kalau ada event outstation macam tu biasa 2 hari 2 malam jek), kami ada ruang dan peluang untuk bertemu mereka. Banyak banyak soalan dan buat fotografi eksklusif. Sepanjang bertugas, jujur, aku sangat menyenangi sikap mereka sebagai public figure. Jenis tak banyak kerenah dan sempoi!

Tahun berganti, nyata sikap mereka tak banyak berubah terutama Adek. Boleh dikatakan, dia masih 'kekal' begitu. Lebih mengutamakan perasaan orang lain daripada diri sendiri. Lebih banyak 'menjaga' daripada mahu membela diri sendiri.

Tengok saja maklum balasnya dalam kes viralnya video dia menyanyi dengan tangan bergari ketika dalam tahanan polis.  Walaupun mengakui terkilan dan kecewa, tetapi dia tak 'naik hantu'. Sebaliknya, masih sudi memberi maaf kepada yang terbabit menyebarkan video itu. Padahal, maruahnya sudah tercalar dengan tersebarnya video tu dan dia lebih memilih memaafkan daripada menyimpan dendam di hati. Lebih hebat lagi, enggan mengambil sebarang tindakan demi menjaga periuk nasi orang lain (kalau orang lain aku rasa tentunya dah berlaku kes saman malu!)

Zamani yang aku kenali masih seperti kali pertama aku bertemunya. Masih sangat baik orangnya walaupun sejarah peribadinya terpalit dengan dadah.

Aku juga bersyukur, kerana dalam keadaan 'rahsia itu sudah terbongkar' masih ramai menyayangi dan mahu membantunya. Iya, seorang penagih dadah bukan penjenayah. Mereka ini seorang pesakit yang harus dibantu dan dirawat hingga sembuh, bukan dipalingkan muka dengan penuh kebencian juga rasa jijik.

Buat Adek, besar harapan aku agar semua yang terjadi sejak kebelakangan ini mampu memulihkan kembali semangatmu. Mampu membawa kau melangkah ke depan dan tinggalkan duka juga kesakitan masa lalumu. Mampu membuat jiwamu lebih tegar dari sebelumnya. Mampu membuka ruang lebih luas agar kau nampak sinar bahagia itu sentiasa menantimu. InsyaAllah. Aamiin.

Lagu kat bawah ni antara lagu Slam yang paling aku suka.

No comments:

Post a Comment