.

Ahad, 11 Januari 2015

Berhenti menjadi baik...?

"AKU nak berhenti jadi baik!" Kata-kata Nini (*) buat aku tercengang-cengang. Loh, kenapa pulak budak ni?

"Aku serik jadi baik, balik-balik aku yang rugi. Balik-balik, aku yang kehilangan kesempatan! Aku tak dapat apa-apa dengan menjadi baik, tapi dia. Tuang kerja, tipu bos berkali-kali, buat claim tipu, beli jiwa kawan-kawan dengan pujian hipokrit dia dan hidup dia lebih baik daripada aku. Lebih selesa, lebih disayangi bos...lebih disukai kawan-kawan. Aku? Aku jadi sampah di mata dia orang. Apa untungnya aku jadi baik?"

Hurmmm...Serius, emosi aku selalu 'teruji' setiap kali jumpa Nini dan kali ni juga dia berjaya buat aku beremosi lagi. Nini, orangnya peramah, baik, periang, sopan dan bijak. Cuma, selalu kalah dengan emosinya yang bersimpang-siur. Dia selalu berasa dirinya dianiaya dek kebaikan yang dilakukan, sama ada dalam urusan kerja. Lingkungan teman-teman, peribadi mahupun apa-apa saja.

Aku masih ingat, waktu itu dia demam. Iya demam teruk sampai tak mampu nak drive sendiri, jam 2 pagi dia call minta aku hantarkan ke klinik. Mujurnya rumah kami tak berapa jauh, aku di Setapak dan dia di Ampang. Dalam menggigil dia teresak-esak sambil meluah perasaan.

"Tadi pagi aku tolong member office siapkan kertas kerja untuk client, dia tak ada idea dan mintak aku tolong apa yang patut. Memang niat aku nak tolong, aku buat sungguh-sungguh sampai lupa makan siang, lupa makan ubat (dia memang tengah demam waktu tu).

Dalam meeting dengan client, sikit pun dia tak bagi aku mencelah padahal kertas kerja tu hasil idea aku. Lepas meeting, dia siap warning aku...katanya jangan cakap kat sesiapa pasal kertas kerja tu. Jam 5, bos mintak kertas kerja untuk client yang kami akan jumpa minggu depan. Katanya nak semak dan tambah apa patut.

Aku cakaplah masih diproses, belum siap sepenuhnya. Bos aku marah-marah dan panggil member aku tu masuk ke biliknya. 20 minit lepas tu, bos beritahu untuk client tu dia dah tugaskan member aku tadi handle. Senang cakap, aku terlepas client! Kau tahu tak apa aku rasa waktu tu?"

Macam tu lebih kurangnya apa yang Nini lalui, betapa dia sering saja dikhianati padahal dia sudah berbuat baik. Aku faham apa yang dilaluinya, memang aneh. Zaman ini, menjadi baik itu terlalu Tabu. Menjadi baik itu tak membuatkan diri kita popular dan disenangi ramai, malah ironisnya semakin 'tak suka dipandang'. Pendek kata, orang baik memang tak glamor.

Pun begitu, aku tetap tak setuju kalau dia mahu 'berhenti' menjadi manusia baik. Dia tak perlu berubah pada bersikap bertentangan, sebaliknya menjadi seorang yang lebih ikhlas. Iya, ikhlaskan setiap perbuatan baiknya. Ikhlaskan demi Allah, lakukan demi Allah bukan mengharapkan balasan kebaikan yang dilakukan.

Ikhlas, memang tak semudah menyebut sebaris kata itu. Justeru itu harga sebuah keikhlasan sangat mahal nilainya. Bahkan, tak ternilai dengan apa jua bentuk balasan kerana yang layak memberi penilaian hanya Allah. Tugas kita adalah melakukan setiap perbuatan baik itu dengan sepenuh hati dan kerana Allah.

Buat Nini (kau tentu tahu siapa kau yang aku maksudkan), aku titipkan seuntai mutiara kata buatmu, "Berusahalah dengan ikhlas tanpa memikirkan balasan semata-mata, kerana semakin tinggi keikhlasan di dalam diri, semakin tinggilah balasan baik yang akan diperolehi dalam keadaan sedar atau tidak."

Aku mahu kau terus berani melakukan kebaikan Nini. Selalu ingat, "Orang yang sebenarnya berani ialah mereka yang tak lekas patah hati, tetap bertahan menghadapi setiap dugaan dan cabaran."

Ikhlas itu macam mana?  Ikhlas itu seperti Surah Al-Ikhlas yang tiada perkataan Ikhlas di dalamnya. Selagi masih menyebut kata ikhlas, itu bermakna belum ada keikhlasan di dalam dirinya kerana hanya mereka yang ikhlas sahaja sentiasa berbuat tanpa pernah mengucapkan keikhlasanya.

Tetaplah kau menjadi seperti pohon epal yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan. Dilempar orang dengan batu tetapi dibalas dengan buah. Justeru, tegarkan jiwamu, sahabat.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan