.

Isnin, 12 Januari 2015

Tudung + Kpop + peluk = prasangka...

MINGGU lepas, 24 jam asyik melintas pasal isu adik-adik perempuan bertudung yang teruja memeluk 'Abang Kpop' di atas pentas KL Live. Riuh sana sini dengan pelbagai komen, post status 'special' khusus untuk isu tu dan kenyataan di media.

Respond aku? Jujur, aku memang marah dengan pelakuan adik-adik yang terbabit tu, apatah lagi tanpa sedar mereka telah 'memberi perspektif' buruk kepada kalangan wanita bertudung. Pun begitu, aku masih tak berhak mengadili dan menghukum mereka. Siapa aku?

Betul, aku bertudung...aku seharusnya layak marah kerana secara tak langsung orang pandang buruk kepada wanita bertudung seperti aku dan mereka. Komen-komen seperti;

"Buat apa bertudung kalau 'selamber' peluk jantan!"

"Dasar betina gatal b*$%, peluk jantan suka-suka hati je. Buat malu mak bapak je!"

"Bertudung tapi perangai macam betina sundal! Baik cabut je tudung tu!"

"Bertudung tapi perangai macam pelacur! Aku yang tak bertudung ni pun reti halal haram!"

Itu antara petikan komen di media sosial pasal isu panas tu, sorry bahasanya memang kurang ajar dan itu hakikat penggunaan bahasa si 'keyboard warrior' a.k.a 'pahlawan papan kekunci' kita (aku tak kata semua, hanya segelintir dan cara serta bahasa mereka dalam memberi komen dan mengulas sesuatu itu sangat sadis! So sad.).

Dalam isu yang jadi viral di sana-sini sampai akhirnya pihak berkuasa/berwajib memberi kenyataan akan ambil tindakan kepada adik-adik terbabit. Namun, komen masih berterusan 'menghencap' perlakuan mereka. Maklumlah, orang bersalah pada pandangan mereka 'wajib' dihencap secukupnya.

Lebih kelakar, ada kalangan wanita yang masih 'togel kepalanya' dengan hebat sekali 'menelurkan dalil-dalil' mereka mengenai sebab, keikhlasan dan kesungguhan wanita bertudung. Mereka dengan bangganya memberi peratusan tahap kesediaan wanita yang bertudung ni. Antaranya,
  • Bertudung sebab mak bapak suruh
  • Bertudung sebab fesyen tudung sekarang semua gempak-gempak, hot dan trendy
  • Bertudung sebab ikut-ikutan
  • Bertudung sebab suami suruh
  • Bertudung sebab nampak lebih cantik bila bertudung
Sekadar beberapa point yang 'rajin' aku nak catatkan di sini, betapa kebanyakan kita begitu mudah berprasangka pada perilaku orang lain. Bagi aku, siapalah kita-kita ni nak mempersoalkan perilaku, niat dan keikhlasan orang lain. Siapa kita untuk memberi peratusan atas semua itu? Kita siapa?

Iya, perilaku yang salah itu tetap salah...tetap berdosa. Harus dibenteras dengan serius dan penuh ketegaran, tidak boleh sambil lewa. Kalau tidak nanti, betapa hancurkan nilai dan keperibadian kita. Ibarat anak yang degil, kalau diajar dengan pukul dan pukul...lalu pada masa depan dibimbangi akan berakhir dengan dendam kesumat malah menjadi lebih parah dan menakutkan.

Mereka harus ditarbiah dengan diplomasi. Pada masa sama, kena ingat perintah Allah tetap perintah...tak boleh diterima pakai dengan 'hukum logik akal'. Apa-apa yang termaktub dalam al-Quran dan hadis kena ikut (sebab itu berguru tu penting, jangan main baca dan faham sendiri je).

Misalnya, tak bolehlah nak kata "Hey, aku tak bertudung pun solat lima waktu.", "Aku tak bertudung pun tahu dosa pahala.", "Tak bertudung tak semestinya jahat.", "Bertudung tu tak semestinya baik."

Iya, manusia pasti berkehendak namun tetaplah Allah yang menentukan. Kamu diberi pinjam muka dan wajah yang cantik, namun telah Dia perintahkan kamu untuk menutup aurat yang sepatutnya. Tak peduli siapa pun kamu, perintah tetap perintah.

Kenapa kita ambil peduli sangat soal ikhlas tak ikhlas ni? Kenapa kita gigih menegangkan benang yang basah dan kendur dengan 'dalil-dalil', buat apa bertudung kalau tak ikhlas! Kemudian kita 'wujudkan dalil logik akal' kita dengan berkata, "Saya tak akan bertudung kerana orang suruh, saya akan bertudung bila dah bersedia. Bila dah sampai 'seru' untuk bertudung dan bila tiba masanya. Saya mahu buat dengan ikhlas bukan dengan paksaan."

Kalau sampai usia 60-an kamu masih belum dapat seru dan hidayah untuk bertudung, macam mana? Aku masih ingat kata seorang 'bunda' yang sangat aku hormati. Ilmu agamanya selalu buat bulu romaku merinding dan katanya sikit waktu lalu;

"Nduk, hidayah itu harus dicari gali. Tak boleh ditunggu gitu ajah. Kenapa orang sakit itu kita sering memaksanya makan walau sedikit? kenapa kita harus memaksanya padahal orang lagi enggak enak badan, putus seleranya, tapi kita maksa terus? Kenapa? Kalau tidak dipaksa, dikhuwatiri penyakitnya tambah parah lagi. Justeru kita maksa terus. Begitu jugalah hal aurat, harus ditutup sempurna kerna khuwatir orang yang melihat dan menayangkannya mendapat dosa.Pokoknya, saling menjaga mengikut perintah Allah."

Buat adik-adik yang terbabit, semoga apa yang berlaku memberi pengajaran amat berguna buat kalian.Ini bukan soal menjaga aib keluarga, tetapi aib kamu sendiri di hadapan Allah. Mana mungkin kamu bebas melakukan apa-apa saja yang berkehendak di hati atas nama hak, kerana walau sebesar zarah yang kamu milik atas muka bumi ini hanya diberi pinjam kepada kamu olehNya. Seumpamanya kamu meminjam barang daripada seseorang, lalu kamu 'menunjuk-nunjuk' pinjaman itu tanpa perasaan malu dan bersalah. Tak mungkinkan, kecuali kalau kamu tidak 'waras' lagi.

Islam itu mudah, tetapi bukan untuk dipermudahkan. Allah itu Maha Pemurah lagi Pengasih, namun tidak bermakna kamu boleh meremehkanNya sewenang-senangnya. Dia Pencipta kamu, Dia menggariskan perintah dan hukum demi menjaga kamu. Ingat selalu, Allah knows better. Iya, kamu tentunya berkehendak, tetapi tetaplah Allah yang menentukannya.


Maaf kalau ada yang tersentap. Korang boleh setuju atau tak setuju dengan tulisan aku ni. Hanya sekadar pandangan peribadi aku, tidak mewakili sesiapa. Adios.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan