.

Rabu, 20 Januari 2021

Suatu Hari, Cerita Di Dalam Ward

Post ni naik balik di dinding facebook

Cerita lebih kurang tiga tahun lepas dan aku nak kongsi semula di sini.


Sudilah membacanya sampai habisπŸ˜ŒπŸ˜€



πŸ‘‰Suatu ketika, cerita di dalam ward.πŸ‘ˆ

Jam 1.15 tengahari, saya sempatkan diri ziarah seorang teman yang baru selamat melahirkan anak petang semalam di sebuah hospital kerajaan.

Alhamdulillah, dia dapat ward yang menempatkan hanya 6 katil saja. Agak selesa dan kebetulan kedudukan katilnya dekat dengan pintu masuk juga tandas. Syukurlah. Tuhan permudahkan urusan dia.
Waktu sampai di katilnya, dia senyum. Nampak pucat tapi tetap manis dan comel. Errr... Kita sebut saja nama teman saya itu, Fatima.
"Allahu, terima kasih datang Nis. Aku nak gi toilet, tapi susah bangun. Nak buang air..." kata Fatima, perlahan sebaik saja nampak muka saya. Waktu saya sampai, dia sedang baring mengiring membelakangkan pintu masuk.
Saya letak buah tangan di atas meja kecil bersekali dengan mini kabinet. Saya selak kain selimut putih tebal yang membaluti separuh tubuhnya.
"Jom, kita masuk toilet." Kata saya, sambil paut tubuhnya perlahan dan hati-hati.
Dalam tandas, selepas pastikan dia duduk dengan selamat. Saya palingkan badan menghadap pintu. Sambil tanya...
"Dari pagi tak buang air ke?"
"Buang, tadi aku paut kat tangan nurse. Lepas tu jalan sendiri masuk toilet...Susah, perit. Nak angkat badan pun ngeri." Katanya lembut.
Oh ye, lupa nak beritahu. Ini pengalaman pertama Fatima bersalin dan secara pembedahan.
Secara detail saya belum sempat tanya sepenuhnya. Cuma diberitahu suami dia, bayi mereka nyaris lemas. Tiada pilihan, terpaksa dibedah.
Selesai melepaskan hajatnya, Fatima cuci muka dan lap badan. Katanya rasa lesu sebab lama duduk dan baring. Dia kata lagi, nurse dah pesan supaya kerap berjalan. Cuma dia takut-takut sebab rasa perit di bahagian perut.
Selesai urusan dalam tandas, saya papah dia ke katil. Dia pandang bekalan yang saya bawa...
"Aku bawa roti dan milo panas, kau nak?"
"Boleh juga, tadi tak selera makan," katanya. Saya pantas buka bekalan yang sempat dibeli di kafe tadi dan letak atas 'meja makan'.
Dua keping roti tawar sekejapan lesap dalam perutnya. Kemudian milo panas dihirup perlahan-lahan. Sedang dia melayan minumannya dan saya merapikan kabinet...


Makcik Berbaju Kurung Coklat Tanah

"Bila beranak ni?" Seorang wanita berusia lingkungan 50-an menegur teman saya itu.
"Petang semalam Makcik."
"Ooo... Nampak susah benar jalan tadi, berjahit banyak ke?"
"Oh, saya bersalin operate Makcik."
"Belah perut? Kenapa? Sayanglah tak beranak biasa. Makcik ni, tujuh anak. Semua bersalin biasa. Dua orang songsang, tapi mak bidan pandai pusing...Elok je keluar ikut bawah.
"Anak menantu Makcik semua beranak biasa, cuma sorang menantu tu la...kena belah perut, tak reti nak meneran! Doktor sekarang semua nak kerja senang, nak cepat... belah je perut selesai masalah... yang menanggungnya, kamu!
"Tu, anak Makcik kat katil hujung sana (kata dia sambil menunjukkan arah katil anaknya). Beranak malam tadi, elok je beranak biasa. Pagi ni dah boleh berjalan sendiri. Itu untungnya beranak biasa ni, belah perut memang senang. Tak sakit, tapi leceh... Banyak kerja!"
Huishhh... Saya dari awal perbualan dah berapa puluh kali berdesing telinga dengan patah-patah perkataan yang keluar dari mulut 'Makcik Berbaju Kurung Coklat Tanah' tu.
Dari berdiri, saya duduk. Saya pandang tepat muka Makcik itu sambil 'menunjuk' senyum selebar mungkin. Lalu, dengan penuh tertib saya...
"Makcik, rezeki setiap orang tu tak sama. Kandungan kawan saya ni ada masalah sikit, baby dia nyaris nak lemas dalam perut. Takkan nak biar anak lemas 'kan.
"Tak ada doktor yang suka-suka nak belah perut orang, Makcik. Mereka (doktor dan nurse) lagi suka kalau kita dapat bersalin cara biasa (normal).
"Mana Makcik tahu belah perut tu senang? Tak sakit... Kalau tak sakit, tak ada la kawan ni jalan bongkok tiga. Nak bangun pun susah... Syukur anak Makcik bersalin normal, tapi sekali lagi semua ni ketentuan Tuhan.
"Bersalin normal ke, belah perut ke... Tetap sakit Makcik. Kesakitan, kesusahan dan kesenangan yang berbeza-beza. Tak boleh buat perbandingan pukul rata je. Paling penting, kita nak ibu dan anak selamat.
"Minta maaf ye, Makcik kalau saya terkasar dan terlebih cakap. Tapi... jujurnya, saya tak setuju dengan kata-kata Makcik tadi."
Wanita itu hanya diam, senyum kelat dan mula nak mengatur langkah ke katil anaknya. Sebelum itu, saya bingkas bangun...
"Saya minta maaf sekali lagi ye, Makcik..." Saya pegang tangannya dan salam. Dia sambut dengan muka tanpa reaksi. Sentap agaknya...huhuhu (akhirnya saya jumpa juga 'Makcik Bawang sebenar'. Biasa jumpa dalam media sosial je hahaha).
Saya kembali ke katil Fatima yang dari tadi membisu seribu bahasa.
"Aku minta maaf, tak boleh tahan..."
Dia senyum..."Aku dah agak..." katanya sambil senyum lagi dan sambung minum. Dia capai sekeping lagi roti. Celup dalam cawan, kunyah dan telan. Habis dua keping lagi. Berselera betul dia walaupun baru lepas tengok live drama hahaha...


Kecewa

Hmmm... Sungguh, saya kecewa dengan pandangan Makcik itu. Pada tahun 2018 ni, kita (masyarakat wanita) masih lagi dimomokkan dengan "bersalin belah perut ni senang kerja, tak sakit...kurang pahala. Rugi... Doktor ni memanglah, nak kerja mudah...bla...
bla...blaaa!"
Saya, muak! Apatah lagi, apabila yang mengeluarkan perkata-perkataan itu tak pernah pun ada pengalaman terbaring di atas meja bedah.
Tiada pengalaman berjalan sendirian ke tandas selepas tiup kencing dicabut (selepas 6 jam, kena turun katil. Buang air sendiri. Lepas nurse buka tiup kencing, memang akan rasa terus nak buang air... Siapa ada pengalaman kena bedah perut, dia akan tahu macam mana rasa gigilnya -yang luar biasa -nak angkat badan..kaki turun dari katil kemudian berjalan...huishhh...ngeri...seksa.)
Saya percaya, semua ibu mengandung dan bakal melahirkan mahu bersalin secara normal, tanpa ubat bius tanpa perlu terbaring kaku atas meja bedah. Pun, siapalah kita nak menolak takdirNya. Kita merancang, berharap... tetapi tiada daya dan upaya kita melainkan dengan izin Dia.
Saya harap sangat, tak akan dengar, jumpa lagi orang bercakap bab "senang beranak belah perut!"..."Ah, doktor nak kerja senang!" Apatah lagi di hadapan ibu yang baru saja melahirkan anak secara pembedahan.
Kalau kita dan keluarga semua dapat rezeki bersalin secara normal, usahlah sedap mulut menghamburkan kata-kata yang menghiris hati seperti itu. Pahala tak dapat, mengumpul pula dosa kering. Rugi berganda!

πŸ‘‰πŸ» Ni kejadian semalam, baru pagi ni rasa nak share. Pagi, sejuk sikit hati...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan