.

Sabtu, 4 Julai 2015

Majalah Jelita tetap mewangi di hati...

WAKTU aku mula-mula terbabit dalam dunia kewartawanan, aku sudah menyimpan hasrat untuk bekerja dan mengutip pengalaman di majalah ini. Ya, Majalah Jelita. Sekitar penghujung tahun 1990-2005 aku dapati ramai sekali penulis hebat di majalah ni. Gaya penulisan mereka cukup aku kagumi dan selalu teruja apabila membaca hasil tulisan mereka.

Tahun 2009, bagaikan mimpi bulan jatuh ke riba. Aku dipelawa editornya untuk menyertai team editorial yang diterajui ketika itu. Kak Emma Husin (Sarimah Husin) dan Kak Ani (Rohani Pak Wan Chik) memberi aku peluang keemasan itu.

Awalnya sedikit kekok, iya walaupun sudah ada pengalaman bekerja di suratkhabar dan majalah tetapi gaya kerja di Berita Publishing dan Majalah Jelita agak berbeza, selain ada house style penulisan mereka sendiri. Itu yang membuat aku 'paling kekok' dan tak betah pada awalnya. Beberapa kali aku ditegur Kak Ani (Pengarang Perunding Bahasa) dan Kak Emma (Pengarang Jelita) sebab banyak artikel bermasalah dengan house style (gaya bahasa) Majalah Jelita.

Hampir berbulan jugak nak biasakan diri dengan house style baru, sampai ada beberapa waktu aku rasa macam 'bodoh' dan tak pandai menulis. Beban tugas juga satu cabaran, sebab semua writer kena buat semua jenis ruangan. Part ni aku tak kisah sangat, sebab sambil menyelam boleh minum air. Banyak benda baru boleh belajar, kenal macam-macam jenis orang dan perangai.

Akhir 2013, setelah berfikir panjang dan semasaknya, aku buat keputusan untuk resign. Dalam keadaan masih sayang sangat pada Majalah Jelita dan kawan-kawan sekerja, aku bulatkan tekad untuk meneruskan langkah tanpa mereka. Secara detailnya tak perlulah aku cerita kot 'kan, cumanya nak beritahu aku resign secara baik, siap bagi notis 1/2 tahun supaya senang editor nak cari & latih writer baru.

Walaupun sudah keluar daripada team Majalah Jelita, sejujurnya aku masih sayang dan rindu. Team Majalah Jelita tetap menjadi keluarga besar di hati aku. Hinggakan beberapa bulan sebelum keluar berita besar/serius pasal Majalah Jelita, aku rasa macam mimpi. Sedihnya Tuhan saja Maha Tahu. Kawan-kawan di luar company pun heboh bercerita hal Majalah Jelita. AllahuAkbar, susahnya nak terima hakikat.

Akhirnya, 30 Jun 2015, sahihlah berita yang sampai di telinga aku. Sah, Majalah Jelita, Majalah Anjung Seri, MB dan beberapa majalah lagi diberhentikan operasinya. Dalam makna kata lain, Berita Publishing berhenti menerbitkan majalah-majalah ini atas faktor ekonomi (terutama cabaran GST).

Walaupun aku tak ada dalam situasi karyawan yang terpaksa berhenti kerja ketika itu, tetapi bagai cubit paha kanan...paha kiri tetap terasa sakitnya. Bagi aku, #MajalahJelita , setiap huruf dan susun atur di dalamnya berbaur pelbagai cerita.

Di sini, aku belajar berlari lebih laju, berguru dengan mereka yang sentiasa sudi mengajar melalui gaya dan caranya tersendiri. Belajar menjadi lebih dewasa, tekun, sabar dan lebih bercitarasa wanita. Di sini, sayang berputik, berbunga dan terus mekar di hati. Takkan layu sampai bila-bila, tetap cantik bergantungan di tangkai hati. InsyaAllah, semoga ada khabar baik kelak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan