.

Thursday, April 17, 2014

Ikhlaskan kasih sayangmu...




Hidup ini terlalu sukar untuk difahami dan dimengerti. Terlalu banyak rahsia dan hikmah yang terkandung sepanjang perjalanan hidup ini dan sebagai manusia biasa, tiada siapa terlepas daripada menempuh pelbagai onak dan duri.

Sama seperti perjalan hidup seorang teman, hampir aku tak percaya seorang yang aku nampak cekal, sabar dan ramah, rupa-rupanya dilanda galau berpanjangan. Benarlah kata orang, soal hati memang sukar dimengerti. Bertahun bertahan, ada waktunya kalah juga dengan tuntutan emosi.

Jumaat lalu, si teman datang bertamu. Baru beberapa patah berkata-kata, airmatanya berjurai-jurai. Sesak dada melihat keadaannya. Jauh berbeza daripada apa yang dizahirkan sebelum ini. Lama kami bersembang, soal hati dan ketentuan Allah. Bukan senang memujuk emosinya yang  parah, apatah lagi harapannya terlalu tinggi. Meminta dia meredhai semua takdir Ilahi, tak semudah membalikkan telapak tangan.

Si teman: "Aku tahu, dekat empat tahun dan dia pun sudah banyak berubah. Mungkin juga sudah    lupa siapa aku yang pernah wujud dalam hati dia, tetapi aku tak mampu. Rasa ralat semakin membengkak hari ke sehari. Setiap waktu aku mohon, supaya Dia hilangkan perasaan aku padanya, tetapi semakin aku rindu dia! Sakit, kau tahu! Sakit sangat!

Aku: "Soal hati ni perlukan masa, kau sendiri tak tahu macam mana dia bertahan untuk melalui semua yang terjadi 'kan? Mungkin dia lebih parah daripada yang kau lalui, kita tak tahu 'kan? Sabarlah, biar masa merawat semua kesakitan itu."

Si teman: "Banyak kali aku cuba, aku cuba tak mahu memikirkan apa-apa pasal kami. Aku tahu, kehidupan kami sudah jauh berbeza. Dia juga sudah banyak berubah, mungkin kesan daripada perbuatan aku. Aku tak minta semua ni jadi pada hubungan kami, aku tak minta. Semuanya berlaku sekelip mata dan aku tak tak berkesempatan nak jelaskan keadaan sebenar pada dia. Lebih membuat aku sakit hati, ada orang lain sibuk jadi tukang sampai. Aku tak sempat beritahu dia sendiri keadaan sebenar, dah ada yang gatal mulut bercerita. Aku geram, marah!"

Aku: "Itu memang lumrah manusia, sikap lebih sudu daripada kuah tu perkara biasa. Kau marah pun tak guna, benda dah jadi."

Si teman: "Kalaulah aku tahu siapa yang gatal mulut tu, aku memang nak bunuh dia. Cara dia dah musnahkan silaturahim kami. Aku memang nak beritahu dia sendiri, bukan ada orang lain beritahu dia sebab cerita yang betul tak 'kan sampai kat dia."

Aku: "Hmmm... memanglah sakit apabila kita dapat berita mengejut daripada pihak lain, bukan dari mulut tuan punya badan. Apa-apa pun, kau kena redha. Benda dah berlaku, alu percaya waktu akan memulihkan hubungan korang."

Si teman: "Aku rasa tak mungkin, call aku pun dia tak jawab, sms tak berbalas. Bila nampak kelibat aku dia lari, aku sedih tau tak! Aku sedih kena harung semua ni sorang. Kalaulah dia nak memahami, nak dengar penjelasan aku..alangkah baiknya."

Aku: "Bersangka baiklah pada dia. Kalau kau sakit, tentu dia lebih sakit. Aku percaya, dia terlalu sayang kau dan bukan senang dia nak terima semua ni. Biarkanlah dia, jangan berharap lebih-lebih daripada dia. Biar masa memulihkan keadaan, beri dia peluang bina hidup baru tanpa kau. Siapa pun pilihan dia, kau jangan ambil kisah. Biarkan dia, biarkan dia cari bahagia. Dia berhak bahagia sekalipun tanpa kau."

Si teman: "Walaupun aku sendiri tak bahagia? Sepanjang hubungan kami, memang aku idamkan hidup bersama dia sampai akhir hayat kami. Sayangnya, Allah takdirkan yang lain untuk aku. Allah beri aku ujian yang besar sampai aku tak mampu elak dan ini hasilnya."

Aku: "Ikhlaskan semua tu. Doakan kebahagiaan masing-masing. Ingat pesan aku sebelum ni, "Rasa mahu memiliki itu bukti ketamakan yang nyata." Kau kena percaya, setiap ujian itu ada hikmahnya. Sabarlah, bersangka baik dengan Allah. Syukuri kehidupan kau sekarang, kalau kau terus macam ni kau sedang berlaku tak adil kepada orang lain. Soal hati kau pada dia, biar Allah yang merawatnya. Jangan jemu minta pada Dia, supaya kau lebih tenang dan bahagia. Doakan juga kebahagiaan dia, ketenangan dia."

Doa aku, moga-moga Allah mempermudahkan urusan hatinya. Aku mengenali kedua-duanya, aku percaya mereka sama-sama sakit. Bezanya, mungkin ada yang terlebih sakit dan ada masih mampu bertahan.

Aku  juga tumpang terkilan dengan si pembawa mulut, mungkin kalau dia tidak sibuk-sibuk masuk campur urusan peribadi orang lain keadaan lebih baik. Kalau aku jadi si penerima berita (daripada si tukang sampai), memang sakit hati. Kita rasa dikhianati, dizalimi, dipermainankan dan rasa kecewa tentunya lebih parah berbanding si empunya diri bercerita sendiri (diplomasinya tentu lebih tersusun).

Jadi, pesan aku kalau kita ada dengar apa-apa berita mengenai orang lain (terutama yang membabitkan urusan peribadi) janganlah cepat teruja nak jadi tukang sampai. Jangan rasa bangga sangat dapat jadi orang pertama atau orang penting yang menyampaikan berita panas. Tindakan dan keterujaan itu mungkin memberi kesan buruk kepada orang lain. Kena fikir sematang-matangnya, bercakap jangan main hembus saja!

Buat kedua-dua teman aku ni, harapnya jalinan silaturahim mereka masih dapat diselamatkan. Selepas berpisah tak semestinya harus bermusuh. Rasa kasih dan sayang yang Allah tiupkan dalam hati kalian sebelum ini untuk dihargai, bukan dibuang apabila tak boleh bersama. Ikhlaskan takdirmu, insyaAllah gugur segala dendam dan benci. Aamiin.

No comments:

Post a Comment