Apa nk buat, bukan rezeki Elly dan Azri. Terimalah ketentuanNya dgn redha krn setiap yg berlaku pasti...ya pasti ada hikmahnya. Buat Elly, semoga dia tabah dan cekal menghadapi dugaan ini. Sepanjang mengenali Elly, wanita ini sgt berjiwa besar. Pantang menyerah dan fokus. Jadi, kita sama-sama doakan apa yg tak menjejaskan kesihatan dan tumpuan Elly untuk menghasilkan Penanggal dgn jayanya. Amin.
(Petikan berita di Mstaronline)
Elly dikatakan tertekan kerana keguguran. |
Suaminya, pelakon Azri Iskandar ketika dihubungi mStar Online berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari, Rabu semasa isterinya hendak membuang air kecil dan tiba-tiba berlaku pendarahan.
"Penggambaran filem habis lewat sehingga pukul enam pagi tadi kerana Elly ingin menyiapkan adegan malam untuk filem itu.
"Dia menyedari keguguran itu berlaku apabila hendak membuang air kecil dan mendapati berlaku pendarahan. Kami terus ke hospital dan pemeriksaan lanjut telah mengesahkan dia keguguran," ujarnya.
Elly sebelum ini dilaporkan sedang mengandung empat bulan dan hasil perkongsian hidup mereka pasangan itu dikurniakan tiga orang anak namun anak keduanya telah meninggal dunia.
Azri memberitahu isterinya kini berada di Hospital Kuala Kangsar dan akan ditahan selama beberapa hari mengikut tahap kesihatannya.
Dalam pada itu, Azri memberitahu keguguran itu berlaku mungkin disebabkan oleh kelasakkan isterinya itu dilokasi penggambaran namun menganggap itu adalah suratan takdir Allah SWT.
Tumpuannya kini kata Azri adalah kepada isterinya yang masih bersedih kerana kehilangan bayi mereka dan berharap dia akan tabah menghadapi ujian itu.
"Elly dalam keadaan tertekan dan banyak menangis ketika ini kerana sedih dengan keguguran itu jadi saya perlu memberikan tumpuan kepada dia," ujarnya.
Terdahulu, dalam satu temubual semasa pelancaran filem Penanggal, Azri pernah melahirkan kerisauannya terhadap keadaan isterinya yang sibuk dalam kerja-kerja pengarahan filem tersebut.
Azri Iskandar, suami Elly |
Dia bimbang isterinya akan tertekan dan akan memberi kesan kepada kandungan tambahan pula sikap Elly yang tidak mahu mendengar kata ketika mengandung.
Sementara itu, walaupun bersedih dengan kehilangan anak mereka, Azri berkata dia redha dengan ketentuan Tuhan dan menganggap ia bukan rezeki mereka.
"Ia bukan salah sesiapa tetapi ketentuan Allah SWT, saya terima dengan penuh redha," ujarnya ringkas.
Dalam perkembangan lain, Azri berkata, penggambaran filem Penanggal yang turut menampilkannya sebagai pelakon akan dihentikan buat beberapa hari sementara menunggu keadaan kesihatan Elly kembali pulih.
Katanya, penggambaran yang diadakan di Kampung Sayong Ulu, Kuala Kangsar itu juga mungkin akan diteruskan oleh penolong pengarah bagi adegan ringkas yang tidak memerlukan perhatian isterinya.
Penanggal adalah filem arahan pertama Elly dan dibarisi oleh pelakon seperti Zul Ariffin, Umi Shazera, Fasha Sandha dan Datuk Sharifah Aini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan