.

Jumaat, 16 Disember 2011

Mek Mulung (Part 2):..

Dlm entry sebelum ni (mengenai Mek Mulung), aku dah cerita serba sikit kan. Tetiba semlm, time dok skodeng news kat Mstaronline terselit jugak berita mengenai Mek Mulung Cahaya Bulan. Wah, mcm tahu2 je aku dok mencari info sama. Kalau korang terlepas baca Mstaronline, kat bawah ni aku tempek beritanya. Jom layan...

Mek Mulung versi II (Kredit: Mstaronline/Bernama):

Mempertahankan Teater Tradisi Mek Mulung
KUALA LUMPUR: Seni teater tradisional Mek Mulung jarang-jarang sampai ke telinga masyarakat.
Mungkin hanya kelompok tertentu sahaja yang biasa mendengar atau tahu mengenainya seperti golongan pengkaji dan pencinta seni dan budaya, penggiat teater dan segelintir masyarakat di negeri Kedah, negeri asal kelahiran Mek Mulung.

Terdapat pelbagai versi mengenai asal usul seni teater ini. Sepintas lalu, dramatari Mek Mulung berasal dari mukim Wang Tepus, Jitra, Kedah Darul Aman.

Nama Mek Mulung berasal daripada perkataan 'mek' iaitu panggilan bagi gadis-gadis, sementara perkataan 'mulung' pula ialah nama hutan tempat bermulanya persembahan ini.

Ia diperkenalkan oleh puteri raja yang berada dalam buangan di hutan bersama dayang-dayangnya.

Lagu-lagu dan cerita-ceritanya direka oleh dayang-dayang bagi menghiburkan hati tuan puteri yang dibuang raja kerana dikatakan bakal membawa malang.

Sehinggalah si puteri dewasa dan mengetahui sendiri cerita dan persembahan itu lalu mereka keluar dari tempat pembuangan sehingga sampai ke negeri Kedah.

Menurut buku Sejarah Asal Mek Mulung terbitan Cawangan Dokumentasi dan Penerbitan, Bahagian Pembangunan Kebudayaan dan Kesenian Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia yang diterbitkan pada 1983, Mek Mulung pada mulanya tersebar di kampung Paya Kulubi, kemudian ke Perik, Kedah.

Malangnya, sambutan masyarakat di Perik terhadap persembahan ini tidak menggalakkan. Kemudian, ia dibawa ke Wang Tepus dan mendapat perhatian penduduk seluruhnya. Kini, persembahan teater tradisional ini dipersembahkan setiap tahun di Wang Tepus.

Selain itu, Mek Mulung juga khabarnya berasal dari Legor, Siam kemudian di perkenalkan di Kedah ketika berlaku persengketaan Kedah-Siam. Tempat mula-mula ia diperkenalkan ialah di Kampung Perit, Mukim Kurung Itam, Jajahan Kuala Nerang.

Seterusnya permainan ini berkembang ke Kampung Belukar Mulung, Kampung Paya Keladi dan akhirnya di Kampung Wang Tepus, Jitra Kedah.

Hampir menyamai Mak Yong
Persembahan Mek Mulung seakan-akan sama seperti Mak Yong yang membawa watak-watak seperti Raja, Permaisuri, Awang Selamat dan Awang Pengasuh, Inang dan watak antagonis yang memiliki magis.

Watak Rajanya masih lagi memegang seikat rotan yang digelar 'rotan ke tujuh'(dalam Mak Yong digelar rotan berai) manakala prop lain yang digunakan adalah topeng untuk watak peran, golok (diperbuat daripada kayu), dan sebatang kayu yang disebut tongkat wak.

Selain lakonan dan dialog-dialog yang mencuit hati, persembahan tarian dan nyanyian turut menjadi elemen utama dalam persembahan ini.

Tidak ada persembahan mengadap rebab seperti Mak Yong tetapi pementasan dimulai dengan tarian Duduk Bersimpuh dan Makan Sireh.

Jika Mak Yong mempunyai berbelas-belas cerita manakala Mek Mulung hanya berulang-ulang kepada lima kisah seperti Cahaya Bulan, Malim Bongsu dan Dewa Muda.

Dipentaskan kembali KSPP
Langkah Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP) untuk mempersembahkan kembali pementasan teater Mek Mulung Cahaya Bulan (MMCB) yang pernah dipentaskan KSPP pada tahun 2002 dahulu, adalah satu usaha yang amat baik bagi memberi peluang kepada generasi muda menghayati seni warisan yang telah dipelopori oleh tokoh Mek Mulung Allahyarham Saleh Embut dari Kampung Wang Tepus.

Teater tradisional yang berasaskan bahasa dan loghat harian Kedah dan sesekali diselitkan loghat Melayu Patani ini diterbitkan oleh Hartini Hj Abdullah dan diarahkan oleh Roslee Mansor serta dibantu oleh A Sam Palal sebagai koreografer, Noorlela Mohd Hashim sebagai jurulatih vokal dan Abdul Rohni Mat Noor sebagai pengarah muziknya.

Seramai 60 artis budaya dan pemuzik KSPP akan terlibat dalam pementasan ini.Pementasan teater ini diiringi dan dibantu oleh beberapa alat muzik tradisional seperti gong, canang, gendang, rebana anak, rebana ibu, seruling, kompang dan gamelan bagi menghidupkan lagi pelbagai suasana dan emosi yang cuba disampaikan barisan pelakon dalam MMCB ini.

Menurut pengarahnya, Roslee Mansor pihaknya masih mengekalkan elemen utama dalam persembahan Mek Mulung terutamanya dari segi watak, nyanyian dan tarian serta bahasa.

Bagaimanapun jenaka yang dituturkan oleh watak Awang Selamat dan Awang Pengasuh serta para inang diselitkan dengan unsur jenaka yang lebih semasa agar mudah difahami dan diterima oleh khalayak terutama golongan muda.

"Bukan mudah untuk mementaskan teater tradisional yang telah berusia lebih 500 tahun ini. Jika dahulu persembahannya bersambung sehingga tiga malam, kami pula menjadikannya kepada persembahan dua jam," jelas Roslee yang mengekalkan beberapa lagu seperti Duduk Bertimpuh, Makan Sireh dan Sedayung.

Ini adalah kali kelima Roslee mengarahkan Mek Mulung dan berpendapat teater tradisional ini agak kurang dikenali kerana tidak ramai yang meneruskan tradisi persembahan ini. Mak Yong menjadi lebih terkenal kerana para pengkaji seni lebih cenderung ke arah itu.

"Jika Mak Yong telah dikenali sehingga diiktiraf sebagai Karya Agung Dunia oleh UNESCO, kita juga perlu mempertahankan Mek Mulung agar dikenali sebagai satu lagi warisan seni tanahair," katanya yang turut berasa lega kerana Mek Mulung telah dijadikan satu daripada silibus pengajian di Akademi Seni Kebangsaan (ASK).

Secara ringkasnya, MMCB mengisahkan pengorbanan Putera Cahaya Bulan terhadap permaisurinya, Puteri Nang Mara yang berjaya ditawan oleh Raja Gergasi. Puteri Nang Mara yang mempunyai kesaktian berjaya ditawan oleh Raja Gergasi.

Puteri Nang Mara diculik Raja Gergasi kerana hasrat Raja Gergasi untuk meluaskan kuasa pemerintahannya sering dihalang oleh Puteri Nang Mara.

Manakala Cahaya Bulan pula pula telah dipanah dan dihanyutkan ke sungai. Saat-saat pergolakan dan cemas itu akan dapat disaksikan dengan pelbagai konflik yang menarik dan mendebarkan.

Persembahan ini akan diiringi dengan gerak tari yang penuh kelembutan, lakonan teater yang mantap, jenaka yang bersahaja dan nyanyian menggetar jiwa, hasil gandingan jitu semua artis budaya Kumpulan Seni Persembahan PETRONAS.

Nabil & Razali Hussain dlm MMCB-Gambar Sinar Harian
Nabil dan Razali Husin teraju utama
MMCB juga menampilkan Nabil 'Raja Lawak' yang akan berganding dengan Masri 'Mari Menari' bagi watak Awang Selamat dan Awang Pengasuh. Nabil yang ditemui Bernama selepas sesi latihan di Studio Rampaisari, KLCC melahirkan rasa gembira dalam debar kerana ini adalah teater tadisional pertama yang dilakonkannya.

"Saya memang seronok terlibat dalam pementasan ini. Bagaimanapun lawak yang dibuat perlu dikawal dan tidak sebebas cara saya berlawak dalam teater komersil. Memang pada awalnya saya langsung tidak mengetahui apa itu Mek Mulung.

"Pertama kali mendengar tentang Mek Mulung, saya terpaksa bertanya dan menonton kembali pementasan-pementasan sebelum ini," jelas Nabil yang mengharapkan dapat menarik peminat-peminatnya terutama golongan muda datang menonton Mek Mulung.

Razali Hussain yang pernah memberikan persembahan cemerlang dalam Muzikal Uda & Dara di Istana Budaya turut diundang bagi memegang teraju utama sebagai Putera Cahaya Bulan. Razali akan berganding dengan Haslinda Ali, artis budaya serba boleh dari KSPP yang memegang watak Puteri Nang Mara.

Bagi Razali Mek Mulung lebih mencabar kerana ia jarang ditonton dan diketahui. Malah, beliau sendiri melakukan kajian dan menonton Mek Mulung di Youtube sebelum bersetuju menggalas watak Raja Cahaya Bulan di dalam teater tardisional ini.

"Apapun saya berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada mereka yang berusaha mempertahankan teater tradisi ini," katanya.

Mek Mulung Cahaya Bulan akan menemui penonton tiga hari berturut-turut bermula dari 16 -18 Dis 2011 di auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Tiket-tiket untuk menyaksikan persembahan ini berharga RM40, RM30 dan RM20 dan boleh ditempah melalui melalui KKSP di talian 03-23312733 atau faks 03-23311444 atau layari atau hubungi 03-41478600.

Orang ramai juga boleh menghubungi 019-2726213 untuk mendapatkan maklumat lanjut. Kehadiran orang ramai amat dialu-alukan terutama dalam usaha kita mengekal dan memartabatkan warisan bangsa yang semakin sepi ini. Jika bukan kita, siapa lagi yang akan menyokong dan memeliharanya.

Syabas juga untuk seluruh warga kreatif KSPP kerana dengan usaha mereka, seni ini akan berkembang.

Jangan kelak, teater tradisional Mek Mulung hanya dapat dilihat di muzium dan dikenali melalui bahan bacaan sahaja. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan