Awas! Sihir kini menular melalui Facebook
Sumber berita: Harian Metro Online
KOTA
BHARU – Pengguna laman sosial ‘facebook’ kini perlu berhati-hati
terutama ketika memasukkan gambar-gambar mereka untuk paparan umum bagi
mengelak unsur sihir dan gangguan.
Pengerusi Persatuan
Kebajikan Perubatan Islam Darussyifa’ Cawangan Kelantan, Zaki Ya
berkata, pada zaman alam siber ini, jin boleh juga merapati manusia
melalui internet atau gelombang termasuk laman sosial ‘facebook’.
“Sebelum
ini, saya pernah merawat satu kes orang terkena sihir yang
meracau-racau secara tiba-tiba ketika berada di hadapan komputer semasa
melayari internet.
“Beberapa hari lalu, saya menerima
khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang bapa yang mahu anaknya
dirawat setelah setahun tidak mahu ke sekolah dan bapa tersebut
mengesyaki ada jin yang menyihir anaknya melalui talian internet,”
katanya semasa ditemui di Klinik Rawatan Islam dan Tradisional (Rawatid)
Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, di sini.
Zaki
berkata, bapa terbabit menceritakan dalam SMS itu anaknya akan mengamuk
setiap kali ibu bapanya menghalang dia bermain internet, malahan anak
berkenaan juga pernah mengancam akan membunuh diri jika dihalang.
Beliau
berkata, pesakit itu belum ditemuinya dan perawat Pusat Rawatan Islam
Darussyifa’ akan membantu anak berkenaan supaya pulih semula.
Dalam
pada itu, katanya, dianggarkan 60 peratus rakyat di negeri ini masih
mempercayai bomoh melalui perubatan tradisional, sedangkan perbuatan itu
bertentangan dengan ajaran agama.
Menurutnya, walaupun zaman berubah, namun masih ada segelintir masyarakat yang masih mempercayai bomoh dan tukang sihir.
“Berdasarkan
pengalaman kami sebagai perawat, dianggarkan 60 peratus rakyat di
Kelantan mencari bomoh terutama ketika mereka mengalami gangguan atau
mengesyaki ada penyakit. Amalan dan budaya menemui bomoh ini masih
tinggi di kalangan orang Kelantan, malahan majoriti bomoh itu
mengamalkan ilmu daripada Thailand dan segelintirnya adalah bomoh
Melayu,” katanya .
Sementara itu, Timbalan Pengarah
Pusat Islam USM Kubang Kerian, Dr Wan Nudri Wan Daud berkata, pihaknya
mengadakan Rawatid yang membolehkan 13 kakitangan USM bakal memperoleh
sijil pada majlis konvokesyen bidang itu pada 23 Disember depan.
“Kami
membantu pesakit di wad mendapatkan rawatan Islam berdasarkan
permintaan keluarga setelah pesakit itu tidak dikenal pasti penyakitnya
atau perlu segera diselamatkan daripada gangguan jin atau sihir,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan