.

Isnin, 18 Januari 2021

Tersaing

 Sejak dari kecil, aku tak pernah rasa nak bersaing atau rasa tersaing dengan orang lain. 


Kenapa?


Entah.


Aku masih ingat, aku tak berminat untuk bersaing dengan sesiapa. Hinggakan, apabila ada orang provo aku secara membandingkan diri aku dengan kelebihan, kepandaian atau kecekapan orang lain, aku cuma rasa sedih tetapi masih tak teringin sahut cabaran dan bersaing.


Aku tak suka.


Paling jelas, aku tak suka keserabutan keadaan apatah lagi emosi. Aku cepat penat dan akan larikan diri dari keadaan itu.


Memang, tak bagus untuk aku.


Tetapi, aku yakin dengan cara sendiri. Aku akan dengan sendirinya bangkit dan perjuangkan apa-apa yang aku ingini. Dan bukannya sebab rasa tersaing atau mahu bersaing. Aku tak minat bersaing atau menyaingi sesiapa, tak peduli siapa pun dia.


Aku cuma akan buat apabila aku nak buat.


Sebab itu kalau ada sesuatu yang viral, misalnya masakan, barang atau apa-apa saja yang kecoh diperkatakan orang, aku tetap di posisi sendiri.


Kadang ada orang cakap, "Kau ni lambatlah, benda ni dah berzaman viral dan kau baru nak cuba?"


Serius, aku sikit pun tak kisah. Aku buat dan cuba sebab memang aku nak, bukan sebab terpengaruh.


Ya, perkataan yang tepat dan sesuainya adalah aku sejenis manusia yang tak mudah terpengaruh. Misalnya, di fb, riuh orang post dan viral fasal periuk tekanan Noxxa. Sana sini bercerita dan berkongsi resipi dan ini bukan benda baru. Sudah bertahun viral, tetapi baru tahun ini aku rasa nak beli.

Sampai keluar bentuk terkini, barulah  rasa nak beli. 

Dari periuk Noxxa lama ni lagi dah viral.


Breadmaker (BM) Noxxa, setahun dua ni orang gegar share macam-macam resipi menggunakan BM itu, dan aku senyum saja sebab aku sudah pun membelinya sejak 10 tahun lepas. Padahal waktu itu tak ramai guna, tetapi aku beli dan sudah cuba macam-macam resipi menggunakan BM tu.

Tahun 2010, aku beli breadmaker Noxxa jenis ni. Waktu itu belum viral, aku beli sebab senang nak uli roti, tak perlu guna banyak tenaga. Macam-macam resipi sudah cuba khususnya roti, kek dan biskut. Sekarang lebih pada buat bakar ayam dan kambing.

Setahun dua ni, viral breadmaker ni. Macam-macam resipi orang kongsi dan ramai teruja nak beli dan cuba resipi dikongsi.


Macam aku katakan tadi, aku tak suka keadaan di mana ada perasaan mahu bersaing. Serius, aku lemas. Aku lebioh teruja bersaing dengan diri sendiri. Membandingkan kemampuan aku dari tahun-tahun sebelumnya dan tahun sekarang juga akan datang.


Aku lebih bersemangat ke arah itu. Ya, bersaing dan cabar diri. Uji kemampunan sendiri, itu yang paling aku suka.


Ada orang lebih bersemangat apabila disaingi dan bersaing.


Tetapi aku, sebaliknya.


Cara masing-masinglah. Cara kita tak semestinya sama, walaupun arah mungkin tuju serupa.


Tak gitu?

Ahad, 17 Januari 2021

Resepi Kek Oren Sunquick


Kredit resipi: Lina Othman


Sebab ada yang mintak resepi, I post lagi sekali kat sini ya..kita takde guna ovelet bagai.. Kek kampung jer.. resipi di bawah ya.

Resipi Kek Oren Sunquick

Bahan:
2 cawan butter (soft)
1 3/4 cawan gula caster
6 biji telur (A)
3 3/4 cawan tepung gandum
3 sudu teh baking powder
2 sudu besar susu manis
1/2 cawan oren sunquick
1/2 cawan susu segar
2 sudu teh esen vanilla

Cara: 
Sama macam buat kek lah 🤣🤣
Oo.. Oo.. Btw kek ini lagi sedap dimakan keesokkan harinya, sebab kek lagi akan moist.

Tapi, kalau dh tak sabar makan lah panas-panas.

Makan sikit dulu, besok makan lagi.. Lagi sedap tau.

Cinta Atau Suka? Bezanya, Nipis



"Macam mana nak tahu perasaan kita kepada seseorang itu 'sifatnya' cinta atau sekadar suka?"


Jujur dan logiknya, secara peribadi aku berasa tak layak nak beri jawapan (apatah lagi jawapan tepat dan pasti) berkenaan soalan di atas.


Sebab, beberapa waktu dulu, aku sendiri keliru antara dua rasa itu. Aku tak pasti, apa yang aku sedang rasa itu sekadar hanya suka atau sudah pun terlanjur masuk ke fasa 'jatuh cinta'. Sungguh, aku tak tahu dan tak boleh nak membezakannya.


Cumanya, sejauh pengalaman aku (waktu itu), kalau sudah masuk fasa cinta, perasaan dan emosi aku menjadi sangat unik dalam menghadapinya.


Berbanding suka, tahap kesungguhan aku tak sepadu mendepani cinta. Faham tak apa aku cuba katakan ni? Tak faham? Tak apa...😁😁


Tetapi, apabila ditanya macam mana nak membezakan dua perasaan itu, aku tak mampu nak memberi jawapan yang sesuai apatah lagi tepat untuk orang yang bertanya jadikan sebagai panduan atau rujukan.


Perasaan itu kau saja tahu, rasanya bagaimana. Macam makan nasi ayam, 10 orang makan, pastinya review mereka berbeza walaupun hidangan sama.


Bagi aku, secara peribadilah 'kan, suka subjektif. Aku suka lelaki pendiam, tak banyak cakap tapi rajin dan  bijak. Suka aku ni boleh berubah menjadi cinta kalau kena gayanya. Dan perasaan suka aku itu boleh menjadi sekadar suka... Suka berkawan, suka tengok atau suka bekerjasama. Sebab, aku suka sikap dia. Dia memenuhi kriteria yang aku suka iaitu pendiam, rajin dan bijak.


Cinta pula, sejauh pengalaman aku sebelum ini, ada beberapa sikap dia yang aku tak suka dan tak boleh terima langsung. Tetapi aku masih 'melekat' dengan dia. 


Misalnya, dia pendiam, tak banyak bunyi sangat. Rajin dan bijak, tetapi dia masuk kategori lelaki 'sejuk'. Letih nak panaskan keadaan, sampai tahap kebanyakan masa aku terpaksa jadi badut untuk ceriakan keadaan. 


Serius, aku stress teruk dengan sikapnya itu. Tetapi, anehnya, aku masih 'melekat' dengan dia. Masih rindu dia, tak boleh tak tengok muka dia. Mesti nak bercakap-cakap dengan dia, mesti nak tahu setiap perkembangan dia.


Walau kedinginan dia buat aku jadi beku, tetapi perasaan... emosi aku tetap hangat untuk dia. Aku tak nampak orang lain yang lebih sesuai kecuali dia.


Beza pula dengan orang yang aku suka. Dia kepit orang lain depan aku, emosi aku ok saja. Nampak gambar dia bersama perempuan lain di media sosial, aku siap menyakat dia lagi. Dan paling penting, hal itu tak mengganggu emosi atau tumpuan aku.



Pun begitu, tafsiran aku berdasarkan pengalaman sendiri ni tak sesuailah untuk orang yang bertanya soalan di atas tu jadikan panduan dan rujukan. Situasi perasaan dia pastinya berbeza.


Ada situasi, perempuan dan lelaki, boleh berkawan baik (bff) tanpa perasaan cinta. Pada suatu keadaan lain, hubungan - kawan baik (bff) itu boleh bertukar menjadi sebuah hubungan cinta. Jatuh cinta dengan kawan baik sendiri, banyak sudah terjadi dan bukan sesuatu yang aneh.


Cinta dan suka, apa bezanya? Kau orang boleh komen?

Sabtu, 16 Januari 2021

Resepi Daging Bakar Harimau Menangis Dan Sos Ala Thai (Sua Rong Hai)


Kredit resipi: Lina Thomas

Alang-alang hari ini Hari Raya Korban kan mesti ampa ada terima agihan daging korban fresh nanti maka apa kata nanti ampa cuba resipi daging bakar ini yang memang sangat sedap!

🤤
Daging Bakar Harimau Menangis dan sos ala Thai (Sua Rong Hai)
Resepi asal dari: My Resepi
Bahan untuk Perapan Daging
500g (2 keping) daging (Ribeye) bahagian yang ada lemak
4 ulas bawang putih ditumbuk lumat
1 sudu kecil lada hitam ditumbuk lumat
1 sudu besar kecil garam
4 sudu besar sos tiram
3 sudu besar sos ikan
3 sudu besar kicap manis
4 sudu besar brown sugar
Campur kesemua bahan diatas kedalam daging dan perap. Kalau ikut tuan punya resepi, dia perap selama 4 hingga 5 jam tapi ibu perap dari malam sebelumnya. Kemudian salai diatas Pan sahaja sehingga masak atau boleh bakar didalam oven. Paling mudan guna Periuk Pemanggan Ajaib je.


Bahan untuk membuat Sos Ala Thai
6 ulas bawang putih ditumbuk
10 biji cili api ditumbuk
3 sudu sos tiram
2 sudu sos ikan nampla
3 sudu brown sugar
1 bawang merah hiris nipis
2 biji cili api dihiris
1 biji air perahan limau nipis atau lebih jika suka
Sedikit daun ketumbar dihiris halus
Caranya mudah sahaja. Satukan kesemua bahan diatas dan sesuaiakan kesemua rasa dengan selera anda. Selamat mencuba.

Jumaat, 15 Januari 2021

Syukur, Alhamdulillah

Belajarlah. 


Belajar syukuri segala nikmat yang diberi-Nya pinjam kepada kita, walau sekecil apa pun pemberian itu pada pandangan kita.


Hidup ini, kalau asyik banding dengan kehidupan orang lain di sekeliling atau di media sosial, kita tak akan pernah rasa bahagia dan gembira.


Bila kita selalu banding, hati akan berkata... Untunglah dia, dapat hidup mewah. Rumah besar, kereta berjenama. Makan sedap, pakaian berjenama. Pendek kata, semua yang kita nampak indah belaka. Kita pun nak kehidupan begitu.


Tanpa kita sedar, kita tak nampak dan bersyukur dengan apa yang kita ada. Dan kita juga tak sedar, ramai yang nak apa yang kita ada.



Belajarlah.


Belajar bersyukur dengan apa yang kita ada. Itu rezeki yang diberi-Nya kepada kita.


Bersyukurlah, pada ada hikmah disebalik setiap pemberian-Nya itu.


Sekecil apa pun rezeki kita, bersyukurlah, kerana rezeki kita yang kecil itu ada orang lain yang hanya mampu mengimpikannya saja.


Nikmat bersyukur itu besar rahmat-Nya.

Khamis, 14 Januari 2021

Yong Tau Foo Sup Padu

Masih panas dan baunya cukup wangi.


Rasanya ramai penggemar Yong Tau Foo termasuk versi sup.


Selalunya, apabila teringin nak makan, aku mencari di pasar malam. Ada beberapa tempat aku biasa beli, cita rasanya sesuai dan serasi dengan tekak.


Sayangnya, sejak Covid 19 melanda dunia termasuk negara kita ni, memang sudah lama tak dapat cari. Di tapak pasar malam belakang rumah, lama juga pakcik you tau foo tu tak meniaga. Ada beberapa kali juga aku pergi cari (ni selepas MCO/PKP dan pasar malam dibenarkan beroperasi) sekitar dua bulan lepas. Kempunan, sebab pakcik tu tak meniaga.


Aku sukakan sosnya yang just nice. Tak ada rasa pelik dan penting sekali, bersih.


Aku juga penggemar You Tau Foo Sup. Ingat dulu, waktu berpeluang ke sana, ke sini ...sempat singgah makan di beberapa tempat. Antaranya gerai Yong Tau Foo Sup di stesen bas Muar. Selain supnya yang sedap, banyak pilihan seafood dan sayur. 


Kalau di KL, selain di Mid Valley (medan selera), aku juga pernah cuba di KLCC (juga di medan selera). Dan macam aku beritahu tadi, dek kekangan masa dan arahan MCO, makanya haruslah mencari alternatif lain untuk melepaskan keteringinan tekak😄😄


Misalnya hari ni, aku buat sendiri versi memandai-mandai. Sebenarnya, ini entah kali ke berapa aku cuba buat sendiri supnya. Setelah beberapa kali hasil buatanku tak menjadi, akhirnya dapat juga yang memuaskan hati (tekak).


Barulah aku tahu, rupa-rupanya senang saja nak hasilkan sup yang sedap. Tak sesusah yang aku bayangkan dan buat sebelum ni.


Pilihan 'lauk', pilih yang biasa saja.

Pilihan sayur, ini saja yang ada dalam peti ais.

Sos hitam, hasilnya kurang memuaskan. Tak tahu apa yang tak kena.


Jadi, selepas ni boleh follow cara ni. Tak susah dan yang penting, sedap. Penyediaan dan bahan juga ringkas, murah.


Cuma, untuk sos hitam tu kena belajar lagi. Rasanya masih tak kena di tekak. Nanti cari apa yang tak kena.


Alhamdulillah.

Rabu, 13 Januari 2021

Cinta Atau Suka?


"Miss, macam mana kita nak tahu... Perasaan kita kepada seseorang tu cinta atau hanya suka?"


Masuk kerja beberapa hari lepas, aku dapat soalan cepu cemas ni dinding Whatsapp. Aku senyum, sambil garu-garu kepala yang tak gatal.


Lepas selesai proses dua artikel, barulah ada masa nak bertenang dan balas soalan itu. Sambil membalas, tak semena-mena aku teringat kisah zaman sekolah dulu.


Zaman remaja, nak ambil SPM lagi hahaha.


Takdir-Nya, aku terjatuh hati (tepatnya, hatiku terjatuh suka) kat seorang pelajar lelaki yang dua tahun lebih tua daripada aku. Kami dari sekolah yang sama. Dan, sama-sama nak hadap peperiksaan penting iaitu SPM dan STPM.


Sejak sekolah sampai sekarang, aku memang suka datang awal. Jadinya, waktu sekolah dulu, setengah jam atau kurang 15 minit, biasanya aku sudah ada dalam kelas. Bersihkan dan kemas kelas, itu tugas sukarela aku. Aku suka, rasa puas hati setiap kali dapat buat begitu.


Nak jadi cerita, suatu pagi selepas sapu dan kemas kelas, aku berdiri dan bersidai di kaki lima kelas. Kelas aku tingkat atas dan menghadap jalan masuk ke dalam sekolah. Jadi, memang bebas mata dapat tengok warga sekolah masuk atau keluar sekolah.


Pagi itu, aku terpandang seorang pelajar lelaki. Kemas dan rapi penampilannya. Tinggi lampai dan paling aku suka, tengok cara dia berjalan. Tersusun, ada gaya tersendiri dan berkeyakinan. Ya, aku cukup suka tengok dia berjalan menuju masuk ke bangunan kelas.


Tapi, pagi itu aku tak tahu dia pelajar kelas mana. Tingkatan berapa, apatah lagi namanya. Hanya cam muka dia, taklah kacak sangat, tetapi pada pandangan aku, dia masuk kategori lelaki yang good looking😊😊


Sejak hari itu, setiap pagi, aku akan sengaja 'bersidai' di kaki lima kelas. Hanya semata-mata nak tengok si dia berjalan masuk ke bangunan kelas, dan hilang... lesap... ghaib dari pandangan mata aku.


Sebulan memerhati, barulah aku tahu namanya dan tingkatan berapa. Ya, memang aku tak mencari info fasal dia. Entahlah, tak terfikir nak mencari. Tetapi, info itu datang sendiri.


Kebetulan, waktu rehat aku ke kantin sekolah untuk tapaw air dan kuih. Waktu itu aku nampak si dia bersama kawan-kawannya sedang makan. Punyalah cuak (hahaha.,.. padahal dia bukan tahu pun aku selalu perhatikan dia).


Perasaan aku waktu itu punyalah gabra... Hishhh... Tak tahu nak gambarkan macam mana, cuma yang aku ingat betul, kulit muka aku masa tu panas sampai ke telinga. Panas dek menahan rasa cuak dan segan sendiri 😆😆


Dan hari itu, punyalah bahagia apabila akhirnya aku tahu nama dia. Segak nama dia, sesuai dengan orangnya😚


Memandangkan aku nak hadap SPM dan si dia pun begitu, aku sekadar melihat juga menjadi pemerhati setianya dari jauh saja. 


Jangan kata tegur dia, sengaja nak mendekatinya pun aku tak berani. Bagi aku, cukuplah sekadar itu, aku ada tugas penting.


Tetapi aku sedar, perasaan itu (suka tengok dia) buat aku lebih bersemangat nak ke sekolah setiap hari.


Dipendekkan cerita, aku tak tahu macam mana 'soal hati' aku tu boleh bocor dan sampai kat dia. Hingga suatu hari, si dia datang ke kelas aku. Masa tu sudah pun habis waktu sekolah, tetapi aku dan bff masih ada dalam kelas.


Kami baru habis buat ulang kaji bersama, sambil kemas kelas kami berborak dan menyanyi suka-suka.


Memang terkejut habis apabila tiba-tiba dia muncul dan masuk dalam kelas. Rasanya nak gugur jantung aku ketika itu.


Dalam keadaan masih terkejut, aku dikejutkan lagi dengan cerita dia... fasal surat cinta. Kata dia, surat cinta itu dipos kepadanya dan pemilik surat itu (a.k.a penulis surat itu) adalah aku. 


Serius, aku terkejut nak mati dengar apa yang keluar dari mulut dia.


Bukan saja terkejut. Tetapi berbaur dengan perasaan malu, marah, sedih dan kecewa. Apatah lagi apabila mendengar 'nasihat' padu daripadanya.


Petang itu, menjadi petang yang paling terburuk dalam hidup aku. Aku tak pernah rasa malu dan marah seperti itu.


Siapa yang menulis surat cinta mewakili aku tu?? Siapa?


Sungguh, sampai sekarang aku masih tak tahu jawapan yang pasti. Cuma, andaian bff aku, katanya ada kemungkinan besar kawan kami yang buat. Aku tak rapat dengan dia, dia lebih rapat dengan bff aku tu. Dan bff aku mengaku dia ada terlepas cakap fasal rahsia hati aku tu.


Dan seingat aku, memang tak siapa tahu (kecuali bff aku) fasal rahsia hati aku tu. Aku suka dia diam-diam saja, tapi tak pernah sampai tahap nak tulis dan hantar surat cinta.


Setiap kali aku teringatkan kejadian itu, aku rasa sangat malu, marah dan kecewa (sampai sekarang).


Lebih membuat aku terkilan (hingga ke post entry ini ditaip), aku masih tak berkesempatan beritahu dia, bukan aku yang menulis surat cinta itu kepadanya. 


Tak pernah. Tak pernah sekali aku terfikir nak buat begitu walauapun sekarang aku bekerja dalam dunia penulisan😅😅


Hahhh... Begitulah kisahnya. Cerita 'suka' aku kepada seseorang, tetapi belum sempat masuk ke fasa 'cinta' sudah kena tembak. Jadinya, tak berpeluanglah aku nak pastikan, perasaan aku ketika itu sekadar suka atau sudah jatuh cinta.


Apa yang aku rasa selepas kena tembak hari itu bukanlah patah hati, tetapi malu dan marah. Marah dan malu kerana dituduh menulis surat cinta oleh seseorang yang aku tengah suka secara diam-diam.


Macam mana ya aku nak terjemahkan perasaan itu dalam bentuk perkataan?


Oh, berkenaan jawapan untuk soalan di atas itu, nanti dalam entry lain aku sambung ye... Tiba-tiba rasa macam ada kupu-kupu dalam hati😟😢