.

Ahad, 8 Disember 2013

Apabila Datuk A. Kadir Jasin 'bersuara'...

Aku saja nak nak share satu tulisan daripada tokoh Wartawan Kebangsaan, Datuk A. Kadir Jasin yang memberi maklum balas berkenaan ucapan menggulung perbahasan Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada 7 Disember 2013.

Secara peribadi, aku suka buah fikiran beliau yang mengulas mengenai 'puji-pujian yang Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak curahkan kepada isterinya, Rosmah Mansor'. Secara peribadi, saya menyifatkan tulisan beliau sebagai 'sindiran pedas' kepada puji-pujian PM kepada isterinya (maaf kalau saya tersilap tafsir, sekurang-kurang bagi saya begitulah yang saya fahami).

Berikut ini sharekan tulisan beliau yang dipetik daripada blog peribadinya Baca di sini.
Datuk A. Kadir Jasin
PAU 2013: Antara Cinta dan Jasa
DALAM banyak-banyak tajuk berita media arus perdana dan media baru mengenai Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang berakhir semalam, satu yang menjadi bahan perbualan adalah puji-pujian yang Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak curahkan kepada isterinya, Rosmah Mansor.

Berucap menggulung perbahasan pada 7 Disember, Mohd Najib memuji Rosmah kerana jasanya kepada negara (baca di sini).

Dia menyebut dua peristiwa di mana Rosmah membantu negara. Pertama, menolong membebaskan seorang pelajar Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Mesir kerana disyaki pengintip.

Kedua, menggunakan hubungan baiknya dengan keluarga Diraja Arab Saudi bagi membenarkan pelajar Malaysia yang lari daripada pemberontakan Mesir untuk masuk ke negara itu tanpa visa.

Berpandukan maklumat Mohd Najib itu, eloklah beliau menimbang semula kedudukan Menteri Luar Negeri, Anifah Aman kerana ternyata beliau tidak seberkesan Rosmah dalam menyelesaikan krisis antarabangsa.

Begitu juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian, Mustapa Mohamed, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rohani Abdul Karim dan Menteri Pelajaran, Muhyiddin Mohd Yassin kerana Rosmah juga terlibat di sana-sini dalam tugas-tugas yang sepatutnya dilaksanakan oleh menteri-menteri berkenaan.

Dengan cara ini kita boleh menggugurkan menteri-menteri yang tidak “perform” dan sekali gus menjimatkan perbelanjaan negara dengan mengurangkan bilangan kementerian.

Saya dah berbuih mulut macam lembu kena penyakit kuku dan mulut mencadangkan agar Rosmah masuk politik, dilantik jadi menteri. Malah menjadi Perdana Menteri jika mendapat kepercayaan rakyat jelata.

Walaupun PRU telah berlalu, PM dan penyokong-penyokong Rosmah masih boleh melakukannya dengan melantik beliau Senator dan seterusnya menteri.

Apabila ini dilakukan, tidak ada siapa boleh membantah campur tangan beliau atau menuduh suami beliau dan Kabinet menyalahgunakan kuasa dengan membenarkan beliau menggunakan kemudahan kerajaan. Jawatan yang sesuai bagi beliau ialah Menteri Tugas-tugas Khas.

Tetapi saya sangat kecil hati dengan salah seorang penyokong PM yang menuduh semua lelaki, kecuali Mohd Najib tidak sayangkan bini. Saya bantah sekeras-kerasnya tuduhan beliau itu.

Media massa melaporkan wakil Wilayah Persekutuan, Affandi Zahari sebagai berkata bahawa isteri Perdana Menteri elok dibenar menggunakan jet eksekutif kerajaan demi memberi ketenangan kepada suaminya.

“Bolehkah anda bayangkan tekanan emosi yang Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak akan tanggung sekiranya sesuatu yang buruk berlaku kepada isterinya ketika terbang dengan pesawat komersial?” kata beliau.

Menurut laporan, Affandi berhujah sedemikian bagi mempertahankan Rosmah yang dikritik kerana menggunakan jet eksekutif kerajaan untuk perjalanannya.

Kata Affandi, kalau Rosmah berada dalam jet eksekutif, Mohd Najib tidak perlu bimbang keselamatannya dan menambah, yang orang bodoh pun tahu terbang dengan jet eksekutif lebih mahal daripada terbang dengan jet komersial, tetapi kita kena lihat aspek keselamatan.

"Bayangkan tekanan emosi ke atas PM jika sesuatu (yang buruk) berlaku kepada isterinya.

"Dia sayangkan isterinya, tidak seperti lelaki-lelaki lain.” (baca di sini).

Tidak mengapalah kalau Affandi hendak pertahankan Mohd Najib dan Rosmah. Itulah pun tugas pembahas PAU. Tetapi kalau benar dia mengatakan lelaki-lelaki lain tidak sayang (love) isteri, saya rasa itu satu cemuhan dan penghinaan yang sangat dahsyat.

Takkanlah Osman Koping (tu bulan tu bintang, atas pokok kayu ara, tu dia sudah datang, orang korporat kampung kita – seloka Johan Jaaffar) tak “love” bini?

Cuma sebagai penggali kubur (yang mengaku ahli korporat) tentulah Osman Koping tidak mampu membayar isterinya terbang dengan jet eksekutif tidak kira sehebat mana “love” dia kepada isterinya.

Nenek moyang kita yang bijaksana dan budiman mengingatkan kita tentang sokong yang membawa rebah. Wallahuaklam.

Jumaat, 6 Disember 2013

Kisah 24 jam di dapur Qalischa Homemade Recipes...

Selain minat memasak, aku suka membaking. Tak pasti sejak bila, sedar tak sedar aku semakin sebati bermain di dapur baking. Aku tak pernah sekalipun masuk sebarang kelas baking, kek yang aku buat hasil rujukan majalah, buku baking, Internet dan memerhati di kaca TV.

Pendek kata, aku belajar membaking secara tak formal. Lebih baik begitu, sebab aku jenis 'orang yang tak makan saman'! Suka buat ikut cara dan keselesaan sendiri, jangan bagi aku step yang remeh-temeh...sumpah, aku akan mengarut!

Hari ini, selepas beberapa tahun menekuni bidang yang hari demi sehari semakin aku gemari. Aku masih kalut apabila mendapat tempahan (secara kecil-kecilan) yang memerlukan kepakaran seorang baker tahap professional.

Ya, beberapa hari lalu seorang teman menempah dua biji kek (setiap satunya seberat 2 kg) dengan dekorasi elegan dan siap ada tulisan nama di atasnya. Ya Allah, gigil hati aku yang tak berapa nak 'besar' tatkala mendengar butir bicara teman itu di hujung talian.

Kecut perut hendak berkata boleh, tapi jauh di sudut hati teringin mencubanya. Tetapi, macam mana nak buat 'magic'? Serius, tulisan tangan aku memang huduh! Sumpah, adakala tahap tak boleh baca atau dieja...hahahaha!

Jadi, macam mana nak menulis dengan cantik di atas permukaan kek yang mahunya elegan itu? Buntu! Kebetulan tarikh kek mahu dihantar bertembung dengan jadual kerja, lalu aku guna alasan itu untuk mengelak...hehehe. Malangnya, si teman merengek manja. "Tolonglah kak, kami nak kek Red Velvet dan Moist Choc bikinan Akak jugak. Sian kat saya, promote bagai nak rak lepas tu tak jadi. Malulah saya, please ye Kak." Begitu katanya.

Lama aku diam, tiada jawapan sesuai yang boleh diberi. Memang aku boleh menolaknya, tetapi kasihan pun ada apatah lagi kami memang rapat. Sayangnya, untuk membuat kek istimewa bersempena hari jadi kakak ipar si teman itu membuat saya 'ngerun' (ngeri + gerun)!

Akhirnya, aku akur. Tempahan diterima dengan galau rasa yang sukar diluahkan dengan kata-kata. Mati aku kalau tak menjadi keknya! Begitu bentak hati saya. Arghhh...sepanjang tiga hari saya berfikir dan mencari idea untuk membuat kek yang elegan. Serius, mati akal!

Dan hari ini, bermula 'perjuangan' besar dalam diri aku. Berjuang untuk menghasilkan dua biji kek yang sangat mencabar minda dan kemampuan diri. Selepas berbincang dengan si teman, aku memutuskan untuk membuat Red Velvet Cake dengan dekorasi taburan bunga ros daripada Creamcheese Frosting. 

Kebetulan, aku pernah tengok kek dengan dekorasi sama. Sementara Moist Choc, aku rancang nak hias dengan kelopak ros di atas permukaan kek (padahal aku lupa pengorder minta Moist Choc iaitu kek coklat yang mewah lelehan coklat, bukan kek coklat!).

Balik dari pejabat, aku fikir nak tidur awal supaya dapat bangun awal (kira-kira jam tiga pagi) untuk memulakan sesi baking. Tetapi, dek kerana takut tak sempat (aku juga cerdik kerana pada masa sama turut menerima tempahan lain -juga red velvet cake- berjumlah 16 bekas - L size...huh!). Akhirnya, aku tak boleh lelapkan mata. Jam 9.30 mlm, bingkas bangun. Gagahkan diri menyediakan semua keperluan dan bahan-bahan membuat #mymissredvelvetcake dan #mymoistchoc.

Alhamdulillah, jam dua pagi selesai kerja-kerja membaking. Badan penat, otak lebih lagi. Jadi, aku tidur seketika di ruang tamu dengan lampu terpasang (supaya senang terjaga, kalau tidur mati habis punah Ana punya program!).

Jam 5.30 saya bangun dan terus mandi. Memang sejuk, tetapi bagus untuk segarkan badan dan mata. Selepas solat Subuh, aku kembali ke ruang baking. Kek Red Velvet sedia untuk dideko. Menggigil tangan aku, Tuhan saja yang tahu.

Syukur, kerja-kerja menabur bunga ros menggunakan creamcheese di atas permukaan kek mudah (walaupun sedikit kekok). Siap mendeko terus letak di dalam peti sejuk supaya krim mengeras dan kekal bentuknya. Tiba pula masa untuk mendeko Kek Coklat Lembab (Moist Choc) dan ketika itu baru sedar, whipping cream untuk bikin cream choc habis. Aduhai...macam mana ni? Arghhh...!!!

Mahu tak mahu, saya kena ke kedai bakeri. Jam 8.30 pagi, aku bergegas ke Bakeri Bagus di Taman Melawati. Kedai buka jam 9 pagi. Mujur ada pasar tani, jadi aku sempat merayap untuk mengurangkan debar dan mengantuk. Dalam poket ada RM100, licin separuh ketika membeli barang basah seperti sayur paku pakis, sarapan, telur, ikan dan buah. Bakinya habis buat beli barang baking (adoi, aku memang pantang nampak barang baking...kadangkala sampai terbeli dua kali).

Tiba di rumah jam 9.30, terus sambung kerja mendeko kek dan menyiapkan 16 bekas kek lagi. Hari ni aku rasa macam tengah buat 'marathon cake'. Syukur Alhamdulillah, jam 12 tengah hari aku berjaya menyiapkan semua tempahan. Leganya, Tuhan saja yang tahu.

Jam 1 tengah hari aku buat COD (cash on delivery) 16 kek RV, kemudian ke rumah teman yang menempah kek hari jadi seberat 4 kg itu. Ya Allah, syukur kerana dia memuji kek itu cantik dan mengiurkan. Cuma...ye...cuma tulisan nama si yang menyambut hari jadi tak ditulis. Hahahaha...aku lupa. Serius aku lupa sungguh!

Bagusnya, si teman pandai menenangkan aku yang kalut kerana rasa bersalah. Kami akhirnya ke pasar raya Hero di Ampang. Beli semua barang yang diperlukan untuk buat cream (untuk tulis nama di atas kek itu).

Alhamdulillah, berkat usaha gigih terutama si teman (nama manjanya Baby). Bernama juga Kek RV dan Moist Choc itu (walaupun ketara kegigilannya) hahahaha! Syukur dengan sangat, satu pengalaman dan pengajaran yang tak boleh aku beli di mana-mana atau belajar di kelas baking. Semuanya dapat secara DIY (do it yourself), serius best sangat! Nak tahu apa rasanya, cubalah. 

Oklah, itu saja cerita aku hari ni. Oh, btw aku nak share gambar makan-makan pulut durian di rumah kakak ipar aku. Kali pertama makan, jakun jadinya hehehehe. Macam biasa, layanlah gambar di bawah ye.
Adunan kek red velvet (RV)
Adunan kek coklat moist

Creamcheese

Chocolate ganache
Pagi hari menunggu kedai bakeri buka, Alhamdulillah jadi juga chocolate ganache ni.
Maaf ye, kualiti gambar ini juga kurang baik.Gambar ehsan pengorder.
Kualiti gambar ini juga kurang baik, maaflah ye. Gambar ehsan pengorder.
Hidangan waktu makan di rumah kakak ipar. Padahal aku baru lepas telan 2 biji panadol. Huhuhu!
Eh, Kek RV saya pun ada juga? Haruslah kan!

*p/s:...mahu tahu tahap kemampuan diri kita? Cabarlah diri, maka di situ ada jawapan yang dicari!

Khamis, 5 Disember 2013

Tiada duka yang abadi...

Ada rasa yang terpuruk di dalam relung hati. Paling dalam, amat dalam. Sukar untuk diluah melalui kata-kata. Titis jernih bergenang berat di tubir mata, pedih...perih menahan sebak. Saat emosi berantakan, bagai ada kuasa menyepak muka. Perit, membuat jaga daripada lena nan panjang. Ya Allah, ampuni aku yang sering menangisi takdir diri. Sedang aku seolah-olah lupa, bahawasanya Engkau tidak sekali-kali menzalimi hambaMu.

Sungguh aku malu, rasa terhina dengan sangat. Betapa aku khilaf! Sesungguhnya aku telah mengabaikan nikmat hidup yang Engkau berikan kepadaku sekian lama. Hari demi hari, tidak pernah surut nikmat yang Engkau berikan kepadaku.

Ya Allah yang Maha Kasih lagi Mengasihi, ampunilah hambaMu nan kerdil ini. Dakaplah aku dengan kasihMu yang tiada taranya, lindungi aku dengan cinta nan tiada hujungnya. Ya Allah, Engkau rahmatilah aku sebagaimana hamba-hambaMu yang telah dan sedang Engkau rahmati.

Wahai Kekasihku, Engkau kasihanilah aku yang serba kekurangan ini. Jauhi aku daripada menangisi setiap kekurangan dan kelemahanku. Engkau besarkanlah hatiku yang telah sekian lama menerima kurniaan rahmatMu. Engkau redhailah aku wahai Tuhanku. 

Ya Allah, sesungguh aku sedar bahawasanya rahmat dan keampunanMu tiada taranya. Pandanglah aku dengan kasihMu, dakaplah aku dengan belas ehsanMu. Ya Allah, sesungguhnya aku teramat malu kepadaMu. Aku yang selalu khilaf menilai setiap curahan kasihMu kepadaku. Sesungguhnya, aku lupa dalam setiap duka itu telah Engkau persiapkan kebahagiaan nan tiada taranya. Ya Allah...ampunilah aku...rahmati aku...kepadaMu aku serah jiwa dan raga ini.

Sumber gambar: Google
 Tiada duka yang abadi di dunia
Tiada sepi merantaimu selamanya
Malam akan berakhir, hari akan berganti
Takdir hidup akan dijalani

Tangis dan tawa nyanyian yang mengiring
Hati yang rindukan cinta dijalan-Mu
Namun ku percaya hati meyakini
Semua akan indah pada akhirnya

Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini

Waktu berputar rebulan dan matahari
Bunga yang mekar akan layu akan mati
Malam akan berakhir, hari akan berganti
Takdir hidup akan dijalani

Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini

Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini
Harap ampunkan hamba-Mu ini

*p/s:...luah rasa batin yang sedang terpuruk.

Rabu, 4 Disember 2013

Galau hatinya....


Agak-agaknya, kenapa orang suka sangat bertanya soalan seperti, “Umur tu dah banyak, bila lagi nak kahwin?”, “Dah dua tahun kahwin, bila nak dapat anak ni?”, “ Seorang je, bila nak tambah lagi?”, “Dah bertahun menjanda (duda), bila nak cari pengganti?”

Ha, pernah tak sekali seumur hidup ditanya satu daripada soalan di atas? Mesti pernah, kan. Tak pernah? Wah, beruntungnya anda sebab dikelilingi orang yabg sangat ‘memahami’.

Bagi yang pernah mengalaminya (termasuk saya), sure rasa ‘bengkek’ apatah lagi kalau sering ditanya soalan yang sama. Seolah-olah tiada soalan lain yang boleh ditanya.

Bukanlah maksud aku tak boleh tanya langsung, tapi biarlah berpada-pada. Tahu tak (orang yang bertanya), soalan-soalan itu sangat mudah ‘menyentap emosi’ orang yang ditanya? Apatah lagi semua soalan itu tiada dalam genggamannya, senang cakap ‘rahsia Allah’. Jadi, secara logiknya layakkah kita nak bertanya sesuatu yang masih ‘berhijab’? Masih menjadi ‘rahsia Allah’? Siapa kita?

Orang yang ditanya juga sama seperti anda, dia juga ‘tiada jawapan’. Ada yang jenis cool, akan cuba menjawab sebaik mungkin agar tidak menyinggung hati orang yang bertanya. Ada yang jenis sudah tak kuasa nak menjawab, hanya mampu tersenyum sebagai jawapan. Tetapi masih juga jawapan ‘berbunyi’ yang ditagih si yang bertanya. Sadis, kan?

Aku masih ingat, beberapa tahun lalu ada dua tiga orang teman bertanya bila lagi aku hendak jemput mereka makan nasi minyak. Setiap kali jumpa, itulah soalan yang ditanya. Hingga suatu hari, aku jawab begini… “Nanti waktu Zohor, aku tanya bila Dia nak bagi jodoh aku ye. Kesian kat korang, dah lama nak makan nasi minyak aku ‘kan!

Aku bukanlah jenis manusia yang tak boleh diajak bergurau-senda. Cuma, kalau asyik ditanya soalan sama (yang sudah tentunya aku sendiri tak ada jawapannya), lama-lama ‘hangin juga satu badan’!

Jadi, janganlah suka sangat bertanya soalan yang ‘menjadi rahsia Allah’. Sebaiknya, doa yang baik-baik untuk orang itu….semoga dia bertemu jodoh, dapat zuriat dan kebahagiaan. Mudah, bukan!


Ya, hidup ini mudah kalau kita mahu bersikap ‘sejuk’. Tak perlu gigih sangat nak ‘menyibuk’. Kalau kita tertanya-tanya, yang empunya diri tentu lebih lagi. Janganlah ditambah galau hatinya, sebagai tanda kita prihatin. Lagipun, tak ‘comellah’ kalau perangai tu ala-ala ‘Acik’ sangat, ‘kan!

Jadi, sudah-sudahlah bertanya itu dan ini. Cukup-cukuplah berandai-andai, usah diteka-teki 'kan kehidupan orang lain. Urus hidup kita yang masih banyak bersisa, biar tak ralat kala dihisap kelak. Hidup ini ‘mudah’, lalu kenapa kita mempersulit keadaan???

Selasa, 3 Disember 2013

Tulis dengan hati, bukan emosi...


Semalam, seorang teman di facebook menghantar pesanan menerusi inbox. Isinya ringkas, tapi cukup membuat otak aku yang sedang dilanda ‘mental block’ – seketika saat itu-bekerja keras. Isi pesanannya begini;-

“Knp ko sibuk nak jadi blogger jugak??? Tak cukup ke menulis dalam majalah ko tu? Bagilah org lain peluang menulis dan diberi perhatian jugak, semua ko nak bolot knp? Ak (mungkin dia merujuk pada ‘Aku’- bahasa singkatan yang cukup menyebalkan saya…!!!) ni, dah la tak ada peluang kerja kat majalah macam ko dapat jadi blogger pun dah cukup seronok. Aku nasihatkan ko, berhentilah jadi blogger. Jgn tamak sgt, semua benda ko nak balun sorang. Mentang2 ko byk nk tulis dalam blog ko, pasal artis la, ahli politik la, barang free yang best la. So, ko ingat ko hebatla. Kalau ko dah hebat, tak payah jd blogger!!!”

Eh! Dah kenapa agaknya si teman seorang ni sampai tahap meroyan? Kenapa marah sangat kat aku? Hmmm… jujur kata, aku tak’lah begitu mengenalinya. Hanya sebagai ‘teman facebook’ saja. Dia jarang sangat komen apa-apa di ruang status atau like gambar yang aku post. Senang cakap, kami sangat jarang berkomunikasi dan aku tak sangka dia salah seorang silence readers blog ni.

Hurmmm, kepada teman facebook aku tu, tak perlulah emosional sangat. Tak perlu marah-marah, kalau rasa tak suka cakap baik-baik. Seperkara lagi, kenapa rasa nak marah aku jadi blogger? Bagi aku, menulis di majalah dan blog sangat berbeza. Tak semua yang aku nak cerita boleh ditulis di dalam majalah.

Lagipun, aku hanya penulis bergaji di majalah itu. Dalam erti kata lain, itu bukan majalah aku. Jadi, aku tak boleh suka hati menulis apa yang aku nak tulis. Hasil tulisan aku terikat dengan etika penulisan sebagai seorang wartawan/penulis. Manakala di dalam blog pula, aku bebas bercerita tetapi pada masa sama masih mengamalkan etika sebagai wartawan/penulis. Dalam erti kata lain, menulis dengan fakta dan sumber sahih. Kalau aku ada kutip daripada mana-mana sumber, aku akan kreditkan dan tag di bahagian sharing dan informasi.

(…tetapi aku tak setuju kalau ada yang kata blog ni macam diari, sebab bagi aku diari ni bersifat peribadi. Hanya kita saja yang boleh menulis dan membacanya, tidak untuk bacaan umum.)

Jadi, pendek cerita pada zaman moden dan canggih IT ini, aku pikir siapa juga boleh menjadi penulis dan ada blog sendiri (bukan kena bayar pun, bayar bil Internet je). Tetapi cara menulis kena betul. Oh ya, aku pernah kena tegur dek silence reader berusia 16 tahun kerana menulis di sini menggunakan bahasa diri, ‘Aku’ (kadangkala aku senang juga mengguna bahasa diri, ‘Gua’, memang sudah berzaman-zaman begitu, payah pula nak mengubahnya) ketika menulis.

Nyata, pembaca muda itu tidak senang dengan gaya penulisan aku. Katanya, bunyi kasar dan untuk sesetengah penulisan aku (di dalam blog) macam tak sesuai. Alasannya lagi, aku ni penulis profesional (maksudnya mungkin kerana aku memilih menulis sebagai kerjaya) dan penulis/menulis untuk majalah yang dikenali ramai (termasuk ibu dan kakaknya).

Selepas beberapa hari memikirkan pandangan peribadinya, aku memang ada terfikir nak ubah bahasa diri, daripada ‘Aku’ kepada ‘Saya’, bagi aku, pandangan pembaca blog perlu diambil kira. Mereka membaca apa yang kita tulis dan aku sangat berbesar hati serta menghargainya.

Sayangnya, aku rasa terikat apabila kali pertama menulis menggunakan bahasa diri 'Saya' (kalau di dalam majalah lain la, memang automatik bertukar hahahaha). Rasa kekok dan serba tak kena, rasa perkara yang aku nak sampaikan bunyi skema dan tak best. Macam mana? Nanti la aku fikirkan.
 
Oklah, panjang pulak aku melalut ye. Apa-apa pun, aku harap mesej kepada teman facebook itu sampailah ya. Kalau awak rasa boleh menulis, silakan. Jangan takut dengan bayang-bayang orang lain. Cipta kebolehan diri sendiri tanpa dipengaruhi orang lain. Tulis dengan hati, pengetahuan dan sumber yang tepat. Bukan untuk popular.

Isnin, 2 Disember 2013

Apabila manusia lebih syaitan daripada syaitan...!!!

Tiga beradik, Norsyafika Nadia, 14,Nur Izzati Husna, 12, dan Puteri Nurul Akma, 3, yang ditemui maut dalam keadaan menyayat hati di dua lokasi berasingan di  kawasan bendang di Alor Senibong, Alor Setar.

Sukar digambarkan betapa sebaknya perasaan aku ketika membaca tragedi yang menimpa tiga beradik ini. Benarlah...apabila manusia lebih binatang daripada binatang, lebih syaitan daripada syaitan! Maka, tiada lagi belas dan kasihan, apatah lagi timbang dan rasa. Semuanya ikut nafsu, lalu jiwa yang tidak berdosa menjadi mangsa. Allah, semoga syurga buatmu sayangku.

Petikan berita Harian Metro:
Alor Setar-Mayat seorang remaja perempuan yang dipercayai dirogol dan dibunuh ditemui di kawasan bendang di Alor Senibong dekat sini semalam manakala dua adiknya dilapor hilang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya berkata mayat remaja berusia 14 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan separuh bogel kira-kira pukul 3.45 petang.

“Polis belum mendapat petunjuk tentang dua adik mangsa yang dilapor hilang. Operasi mencari mereka sedang dijalankan dengan bantuan unit anjing pengesan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian hari ini.

Remaja tersebut bersama dua adiknya yang berumur tiga dan 12 tahun dilapor keluar dari rumah mereka di Jalan Datuk Kumbar dengan motosikal kira-kira 7.30 malam untuk ke rumah rakan mangsa di Kampung Gelam yang berdekatan bagi mengambil gajinya yang bekerja membotol bahan pencuci.

Mohd Nashir berkata setelah ketiga-tiga anaknya tidak pulang dan gagal ditemui setelah puas dicari, ibu mereka Siti Aishah Arifin, 40, membuat laporan polis di di Balai Polis Langgar kira-kira pukul 2 pagi.

Sementara itu laporan terkini menyebut, dua adik remaja yang dilaporkan hilang itu disahkan maut selepas mayat mereka ditemui di sungai Pekan Langgar di sini petang ini.

Petikan berita: Harian Metro
Alor Setar: “Saya ada tiga anak saja, kini ketiga-tiga mereka sudah pergi meninggalkan saya serentak. Ini dugaan paling hebat yang perlu saya tempuhi.”

Itu rintihan Rusdi Rani, 38, bapa kepada tiga beradik yang ditemui maut dalam keadaan menyayat hati di dua lokasi berasingan dekat sini, semalam dan kelmarin selepas dilaporkan hilang sejak keluar rumah dengan menaiki motosikal petang Jumaat lalu.

Mayat anak sulung Rusdi, Norsyafika Nadia, 14, dijumpai tertiarap dalam keadaan separuh bogel pada jam 3.45 petang, kelmarin di kawasan sawah padi berhampiran Alor Senibong, di sini oleh orang awam.

Ketika Rusdi berdoa dan berharap dua lagi anaknya yang ketika itu gagal dikesan berada dalam keadaan selamat, dia menerima berita duka apabila polis petang semalam memaklumkan penemuan dua beradik itu.

Mayat Nur Izzati Husna, 12, dan Puteri Nurul Akma, 3, ditemui di tali air Padang Petani, Langgar, di sini, kira-kira jam 4 petang, semalam, juga oleh orang awam dalam jarak hampir 100 meter antara satu sama lain dan lengkap berpakaian.

Anggota polis menarik mayat Nur Izzati yang dijumpai dalam tali air Kampung Padang Petani.
Mayat Puteri Nurul Akma ditemui 100 meter dari kakaknya.
Anggota bomba mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke hospital.
Ibu dan bapa mangsa.


Ahad, 1 Disember 2013

Nostalgia ikan rebus goreng...


Pernah rasa hidup serba susah satu pengalaman amat berharga buat aku. Tiada sesen duit dalam tangan berhari-hari. Makan nasi berkuahkan air rebusan ikan rebus, bersayur pucuk ubi atau pucuk betik bukan perkara luar biasa dalam hidup aku dan keluarga pada ketika itu.

Dengan adik-beradik yang ramai (tujuh orang), bukan senang menampung kehidupan namun sedaya upaya arwah Abah tak pernah biarkan kami berlapar. Ma pula cukup kreatif mencipta pelbagai jenis makanan. Dulu, Ma sangat rajin buat kuih untuk minum petang. Aku masih ingat, Ma rajin buat Apam Pisang, Kuih Ketayap, Lempeng, Kuih Lapis dan macam-macam lagi.

Cara aku buat ikan selayang rebus untuk digoreng
Kalau rezeki tak seberapa, kami makan apa-apa yang ada. Paling aku ingat, Ma suka buat stock ikan Selayang (ada orang panggil ikan sardin) yang direbus kemudian digoreng garing. Selalu juga kami adik-beradik layan ikan rebus goreng ni berhari-hari sebab musim hujan dan susah nak keluar ke pasar.

Selalunya, kerja pergi pasar basah Ma serahkan kat aku. Ma akan sebut ikan apa yang dia nak suruh beli dan aku tulis lintang pukang sebab Ma akan cakap macam mana rupa ikan tu hehehe…seingat aku, aku start ke pasar umur 10 tahun. Biasanya Ma suruh beli ikan kembung, selayang atau ikan mata uji rashid (ikan mata besar). Jenis ikan ni memang murah waktu tu, sekilo baru RM3 (kalau tak silap aku la). Tapi, jarang sekali Ma suruh beli sampai sekilo. Biasanya Ma suruh beli 5-7 ekor saja, kemudian beli seikat sayur sawi berharga RM0.50.

Kami sekeluarga jarang sangat makan nasi berlauk ayam atau daging, mahal. Adik lelaki aku ada empat orang, tak cukup kalau beli ½ ekor untuk dua kali makan. Tapi, kalau Abah balik (Abah dulu kerja Mandor untuk pembinaan bangunan, sekolah atau perparitan) memang seronok. Abah akan beli ayam, daging, sotong dan macam-macam lagi. Wah…time tu memang kami balun cukup-cukup. Hehehe…!

Hari ni, waktu usia semakin meningkat. Ingatan aku pada kehidupan dulu bertambah kuat, bagaikan terdengar-dengar suara Ma yang memetir marahkan kami apabila ulang makan (sebab lapar, tak ada kudap-kudapan). Atau cuba-cuba nak ratah lauk (sebab lauk itu akan dimakan malam nanti).

Sebagai kakak, aku dan Kak Ain selalu kena beralah dengan adik-adik. Kadangkala, kami makan nasi tanpa lauk. Aku masih ingat, lepas penat mencuci baju dan pinggan mangkuk aku terus capai pinggan nak makan nasi. Hari itu, Ma masak Sambal Sardin (ala ikan sardin dalam tin besar tu) lauk kegemaran kami adik-beradik. Dengan penuh semangatnya, aku menyenduk nasi dalam periuk. Kemudian waktu nak buka tutup periuk Sambal Sardin, suara Ma memetir, “Makan tu ingat orang belakang sikit! Malam ni nak makan lagi, nanti adik-adik takde lauk!”

Pilunya hati aku ketika itu hanya Tuhan saja yang tahu. Lepas kena tegur, aku nyaris tak makan nasi. Kemudian Kak Ain datang, gosok belakang aku. Time tu dah berjurai airmata (sedih la sangatkan hahaha…). Dia sendukkan aku sambal sardin (tanpa ikannya) dan jirus atas nasi (dulu kami masak Sambal Sardin mesti kuahnya setengah periuk dan itu je satu lauk untuk dimakan sampai malam -dua kali makan). Tengah hari itu kami berdua makan nasi tanpa lauk, hanya berkuahkan sambal semata-mata (waktu itu kalau tak silap, umur aku 11-12 tahun kot).

Sumber gambar: Google
Tadi, waktu membeli barang keperluan dapur di NSK Sri Rampai (KL) aku nampak selonggok besar ikan selayang berharga RM6.90 sekilo. Murah! Biasanya, paling murah RM10. Aku pilih yang cantik-cantik, segar bugar hampir penuh plastik, sampai seorang kakak di sebelah menegur, “Banyaknya, sedap ke ikan tu dik?” Aku  pandang muka kakak tu, dalam hati berkata… huish… takkan tak pernah makan ikan selayang ni?

“Sedap kak, goreng kasi garing rasanya lebih sedap dari ayam.” Selamba aku menjawab.

Bagi saya, ikan selayang ni memang membangkitkan kenangan silam. Ikan Selayang Rebus Goreng pula cukup menggamit nostalgia. Uolls pernah cuba buat Ikan Selayang yang direbus kemudian digoreng garing?

Caranya mudah saja, bersihkan ikan selayang tu elok-elok, masukkan dalam periuk (kalau ikannya banyak, susun ikan berselang seli dengan garam dan asam gelugor. Maksudnya, baris pertama ikan…tabur garam dan letak asam gelugor, kemudian letak ikan di atasnya…ulang proses sama kalau ikannya lebih daripada 2 lapis.). Letak air sikit je (ada orang letak banyak sampai tenggelam ikannya, tak perlu ye nanti time nak goreng habis meletup-letup sebab ikannya berair). Letak air tu agak-agak basah je, kemudian rebus sampai ikan masak.

Ikan rebus ni lebih sedap dibiarkan semalaman, kemudian baru digoreng. Kalau ikut versi aku, aku panaskan minyak (sampai betul-betul panas) baru masukkan ikan. Goreng sampai garing, angkat. Tumis bawang besar (dimayang ) dan cili padi sampai layu, kemudian tabur atas ikan goreng tadi. Makan panas-panas bersama nasi putih (letak la kicap Jalen sikit hehehe). Sedap tak? Cuba...try...test tengok...serius rasanya....perghhh…macam nak hantuk kepala ke dinding tahap kesedapannya! Hahaha!